Followers

Tuesday, 18 May 2010

16hb Mei.......

Subhanallah !

Jazakillah , ini hadiah teacher's day buat aku tahun ini.
Kutempatkan di atas mejaku sebagai peringatan atas penghargaan dan pengharapan dalam kerja-kerja mendidik.

Tarikh tidak penting tapi yang bermakna adalah peristiwa terutama yang melibatkan tuan punya diri. Hari ini, masyarakat sudah tidak memperkatakan lagi tentang hari guru.

Begitulah kalau pengajaran yang bersempenakan tarikh bukan peristiwa. Payah nak melekatkan pada minda. Bila berlalunya tarikh tersebut maka berlalulah cerita.

Sedangkan Al Quran mengajar kita dari 'Peristiwa '. Pelabagi peristiwa ...Bani Israel dengan Sapi betina , Fir'aun dengan Nabi Musa , Thalut dan Jalut , Bahtera Nabi Nuh...
Semuanya adalah peristiwa yang tidak Allah nyatakan tarikh.

Sebagai warga pendidik....
Aku juga bertalu-talu menerima sms ucaprai hari guru. Anakku2 juga. Suamiku yang terawal.

Antaranya...

" Jika dapat BUNGA - tanda Guru Harumkan Dunia.
Jika dapat PEN - tanda Guru Mengukir Kata.
Jika dapat PEMADAM - tanda Guru Betulkan Kesilapan.
Jika dapat MESEJ (sms) - tanda Guru Dalam Ingatan ."

HAPPY TEACHER'S DAY

" Guru ada tika jadi cikgu...' Selamat Sejahtera Cikgu '

ada tika jadi mu'adib... ' Terima Kasih Wahai Penyuluh Jalan '

ada tika jadi kerani...'Eh! Bila yuran murid nak selesai dikutip cikgu?'

dann...ada tikanya jadi tukang bersih...'Cikgu bila nak mulakan gotong royong sekolah kita ?'

he he.. siapa pun guru itu, mereka adalah pembina nusa bangsa.

SELAMAT HARI GURU untuk cikgu.

Semoga ketulusanmu sehangat sinar mentari , selembut cahaya bulan...mendidik asuh PERMATA bangsa.


Begitulah ungkapan-ungkapan yang agong untuk meninggikan martabat dan mengenang jasa guru tapi mengapa " masyarakat terus-terus rosak dan kian tenat walaupun ada guru ? "

Inilah yang mengelisahkanku. Masyarakat tidak terbentuk walaupun berjuta-juta ringgit dibajetkan terutama dalam bidang "Pendidikan Awal Kanak-Kanak " yang kini laku bagaikan ' pisang goreng panas '.

Hari ini pula , media memaparkan konsep dan rangka pendidikan negara...ahh , bertambah kacau rasanya. Kita masih teraba-raba mencari arah dan laluan. Bila pendidikan dicampur baurkan dengan nilaian material ataupun nilai insan itu disekularkan , maka hancurlah pendidikan itu sendiri.

Allahu'alam.

Thursday, 6 May 2010

SEGAR MENGINDAHKAN DAN MENAWAN.....

Kulafazkan ikrar terindah memetakan lembaran hidup hari ini :

" Kami berpagi hari atas fitrah Islam dan kalimah ikhlas dan atas deen nabi kami Muhammad s.a.w dan agama bapa kami Ibrahim yang hanifa ( lurus ) dan tidak telah adalah dia dari orang-orang musyrikin."

Kutapakkan langkahku bersama rasa kesegaran yang mengindahkan jiwa , minda dan jasadku ke gudang yang membekalkan ku ghazanah yang menawan.
Menawan lantaran aku tetap direzekikan Allah melapah kitabNya. Aku bukan saja terhibur dengan sahabat-sahabatku di kelas ' Terjemahan Harfiah ' ustaz Tarmizi malah Al Quran mengajarku agar menyeimbangkan aktiviti kehidupan dunia agar bermanfaat untuk akhirat.

Bersumberkan kelas harfiah yang menjangkau hampir tiga tahun bagiku , kini aku telah agak berupaya memahami kalam Allah tanpa merujuk pada terjemahan dalam Bahasa Melayu.
Syukur Allah telah memilih aku menerima rezekiNya ini.


Al Quran mengajarku penyatuan kehidupan dunia dan akhirat. Ada pahala dan ada dosa. Kedua-duanya bersahamkan 'amalan' @ aktiviti harian biarpun yang zahir mahupun yang batin.
Allah Al Khabir , amat mendalam mengetahuinya.

Doa-doa yang mathur yang terukir basah dibibir :

" Ya Allah , sihatkanlah aku pada badanku." " Ya Allah , sihatkanlah aku pada pendengaranku." " Ya Allah , sihatkanlah aku pada penglihatanku."
Lantaran pohonan dan harapan kesihatan inilah , seusai kelas harfiah aku memutar stearing unser ke Body Power Fitness Centre untuk menyempurnakan pula tuntutan jasadi.

Ghazanah sahih yang mengisi minda begitu segar , mengindahkan dan menawan hari-hari hidupku.
Biarpun adakalanya mehnah melanda namun kuyakin Allah tetap membantuku.

Kukongsikan nikmat Allah ini biar kita sama-sama merasai kemanisan beriadhah.





Untuk mendapat impak yang menyeluruh , beriadhahlah dengan :

~ memanaskan badan dan melakukan regangan otot
( warm up/ streaching )
Ini adalah untuk menyediakan otot bagi melakukan aktiviti dan supaya otot tidak terkejut dan cedera semasa 'workout' nanti .

~ melakukan aktiviti pergerakan untuk mencapai kecergasan
( workout )



Antaranya adalah work out erobik.
( yang menggunakan oksigen secara berterusan ) ; joging , berjalan laju,
bermain badminton , hoki , bola sepak, berenang dan lain-lain.
Pilihlah ikut kesesuaian dan minat tapi jangan tak riadhah.

Masa ' workout ' inilah segala kalori-kalori makanan ( lemak , karbohidrat , protein , minarel , vitamin dan air ) dicernakan kepada tenaga yang dihasilkan untuk beraktiviti. Tiadalah tenaga berlebihan disimpan dan dipikul kehulu ke hilir tanpa mendatangkan faedah malah membawa penyakit. ( kegemukan )

Jadi , bolehlah nak menguruskan badan tapi...ingat , makan kena ikut diet juga.
Aktiviti senaman beriringan dengan muzik yang kebiasaannya dikenali 'senamrobik ' adalah pilihan untuk work out.

( indoor work out - dalam studio ) merupakan pilihan serasi bagiku kerana ianya meliputi konsep kecergasan malah secara minda , ianya meransang daya ingatan.

Melatih ketangkasan berfikir , koordinasai kaki tangan dan menggerakan badan mengikut alunan muzik. Kalau tak biasa , memang payah nak jadi!!
Indoor pula , aurat terpelihara terutama ketika melakukan pergerakan.

~ Membentuk otot ( conditioning ) @ biasa difahami sebagai cooling down.

Allah al Jamil ( amat cantik ) dan Ia menyukai yang cantik. Beriadhah bukan saja untuk kecergasan dan kesihatan malah juga kecantikan. Otot-otot kita harus dibentuk agar mendapat potongan yang cantik dan kemas. Lengan dan paha yang tidak mengelebeh. Terutamanya wanita-wanita yang telah melahirkan , tentu nak dapatkan semula bentuk badan.

Slot ini mengunakan dumble untuk otot tangan dan dada. Floor map pula untuk senaman lantai seperti bumping dan 'sit up'. Haa..ini peluang nak kempiskan perut.

Sikurus taklah mencengkung dan sigemuk taklah mengelebeh. Otot jadi kemas dan berbentuk dengan bentuk yang sepatutnya. Barulah cantik bila mengenakan pakaian.

~ Diakhiri sesi riadhah dengan ( streaching )
Otot-otot yang telah digunakan tadi betulkan kembali. Taaariiik nafas dan hembus !!!

Dah habis satu jam untuk makanan jasad kita.

Ingat masa sihat sebelum sakit .
Bila sudah sakit.... wang segunung pun tak dapat nak membeli kembali nikmat kesihatan yang telah diambil Allah lantaran kita tidak amanah dengan pinjamanNya ini.


Banyak kalori sudah terbakar tadi !! Jadi sekarang mmmmm.....nyum nyum...reward diri sendiri kerana berjaya tidak membontoti nafsu 'malas riadhah'.
Tak apa , esok riadhah lagi dan lengkapkan tiga kali seminggu paling minima dan satu jam /sesi untuk kekalkan kecergasan kita.

Allahu 'alam.

Tuesday, 4 May 2010

Sunday, 11 April 2010

AYOH !!!....CERGAS DAN CANTIKKAN.......

Alhamdulillah dalam kekangan kerja dan hambatan waktu, , kuusahakan juga biarpun terpaksa menjelajah hingga ke tiga buah kedai sukan untuk mendapatkan reebok idaman yang serasi denganku. Reebokku yang lama terpaksa diganti kerana telah melewati usia tiga tahun. Tak selesa dan merbahayakan pergerakan
semasa beraktiviti.


Sebenarnya sekembali dari tanah suci setahun yang lalu , aktiviti riadhahku tersangkut-sangkut tidak kosisten. Ini lantaran sifu riadhahku menutup buat sementara pusat riadhahnya dan tidak kutemui tempat yang menawan hati.
Bukan lantaran 'taksub' tetapi Bodypower Fitness Centre (BPFC ) merupakan satu-satunya tempat 'indoor excercise' yang menawarkan ' kejaminan aurat ' yang terpelihara dari ajnabi dan juga menepati ilmu dan konsep riadhah untuk kecergasan tubuh.


(BPFC) milik Tengku Norihan yang berpengalaman lebih dua puluh tahun dalam bidang sukan dan kecergasan yang mana beliau juga merupakan ketua juri antarabangsa sukan erobik. Aku suka beriadhah di sini kerana bukan saja dapat membina kecergasan dan kesihatan tetapi juga dibekali ilmu yang sahih oleh Tengku Norihan.

Beliau akan memberi penerangan tentang manfaat terhadap aktiviti dan pergerakan yang dilakukan. Inilah yang kucari. Jelas dalam usaha ber'ubudiah kepada Allah. Bukan sekadar ikut-ikutan yang mana ramai orang tersalah anggap, 'dengan muzik , erobik adalah langho' .

Ada juga sekali-sekala aku dipelawa oleh sahabatku Hesseline Surialis instruktor erobik untuk ' Mass erobik ' bersama pelajar Naim lil bannat, Kota Bharu serta beberapa kali ke Fitness Centre yang lain.

Subhanallah !! Pergerakanku sudah agak kaku! Aku ingat-ingat lupa ! Kecergasan otot yang dibina sebelum ke tanah suci dulu pun out!! Lunyai !!! Aku sekali lagi harus bermula dari
' 0 ' untuk membina semula apa yang telah kuhancurkan!!!.... Hah ! usahkan setahun , dua minggu tak beriadhah pun sudah cukup rugi sebenarnya.


Rasulullah telah memaklumkan syarat " Sesungguhnya mukmin yang kuat lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah..."

Tholut dipilih oleh Allah menjadi pemimpin lantaran keluasan ilmu dan perkasanya fizikal beliau.
Kisah ini diwahyukan Allah dalam Al Baqorah 247 :

" ..... sesungguhnya Allah telah memilih atas kamu dan telah menambah dia (Tholut ) akannya kelapangan pada
ilmu dan fizikal .
.....

Memiliki fizikal yang mantap adalah antara keutamaannya syarat Allah melantik pemimpin.

Dalam ibadah haji juga ada syiar riadhah. Ye...bersa'ie bergerak ulang alik tujuh kali dari safar ke marwa yang mengambil masa agak-agak satu jam setengah dengan jarak kurang lebih 3KM . Ah! Betapa bangga dan bertuahnya aku terpilih menjadi orang Islam. Semuanya telah tersedia kemas sebagai
panduan menjadi cergas dan cantik dalam mencari nilai sebuah ibadah dan redha Allah.


Dengan menjadikan riadhah salah satu agenda kehidupan, insya Allah akan membawa kita kepada kehidupan yang sihat dari segi emosi , minda dan sudah tentulah jasad. Malah jiwa kita jua akan cergas. Allah mengatur sistem badan akan mengeluarkan hormon endofin yang mana hormon ini meransang emosi kita agar ceria. Jadi , orang yang beriadhah akan awet muda dan ceria. Terpinggir dari kemurungan.


Tisu-tisu badan yang tidak mendapat oksigen secukupnya ataupun yang tak pernah digunapakai , akan mudah terseliuh kerana otot tiada keanjalan. Maka jadilah kita tua sebelum tua. Kita matikan jasad kita sebelum dimatikan.


Jumpa lagi dalam post berikut..


Allahu'alam...

Tuesday, 9 February 2010

JATIDIRI TIDAK BERAKHIR .........


7hb. Febuari 2010 setibanya di muka pintu dewan besar Kolej Teknologi Darul Naim , aku tergamam tatkala beberapa orang anak jatidiri menerpa ke arah ku. Sekelip mata kami berempat berpelukan bagaikan tiada perpisahan. Bertambah terharu pabila seorang dari mereka berkata " mak cik tak nak peluk saya ke? "

Tak sangka kami semesra ini dalam tempoh tujuh minggu biarpun aku hanya terlibat dalam mengendalikan Modul Haluanita dan hadir di kem untuk sesi halaqah pada hari jumaat dan menemani anak-anak jati diri outing .

Begini pemurahnya Allah menumpahkan rasa kasih dan persaudaraan antara kami yang amat berhajat pada kebaikan dari apa yang kami lakukan. Bertambah yakin aku dengan janji Allah

" Dan barang siapa mengerjakan amal kebajikan , baik lelaki mahupun perempuan sedang dia beriman , maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun."

An Nisa' : 124


Berlatarkan laut yang sentiasa berombak di Sri Pantai Chalet bersama hembusan bayu dan mentari petang yang semakin mengengsot pergi , perkongsian rasa anak-anak Kem Jatidiri dalam pertemuan terakhir aku terasa .....

Anak-anak ini benar-benar memahatkan satu kesedaran yang mencuit perasaanku.

" Biar saya cakap dulu mak cik ......." Kata seorang peserta dari Kuala Lumpur.
" Kem Jatidiri mengajar saya
1. Erti Sabar ...ye,.... sabar , sabar dan sabar.
Kalau di sekolah dan di rumah saya di kelilingi kawan-kawan yang tidak seperti di kem ini.

Sesama kawan-kawan , kami bebas mengeluarkan apa saja yang kami mahu apabila marah. Kalau saya kata ,
kamu bengong ! Mereka akan kata kamu bangang! Tapi di kem ini , kawan-kawan akan beri nasihat dan tunjuk ajar bila kita buat perkara yang tak baik. Hai !..tahan ,... sabar je la...

2. Ukhwah Fillah
Saya mengenali ukhwah fillah di sini. Kawan-kawan di sini tak ada di tempat lain. Tak akan jumpa di tempat lain.

3. Al Mathurat
Saya belajar mengenali dan membaca mathurat di kem ini.

Modul Haluanita - "Selangkah ke Dapur Muslimah " . Kalau sebelum ni di rumah, nak menggoreng telor pun takut kena percikan minyak panas tapi di kem ini saya dapat belajar memasak. "
Inilah yang amat bermakna dan istimewa bagi anak dari Kuala Lumpur ini yang mana kehadirannya disarankan oleh bapa saudaranya dan juga amat berat baginya pada awalnya.

Anak dari Ibnu Khaldun pula yang sememangnya terasuh dengan suasana yang meransang pada ma'aruf melahirkan rasa " Kem Jatidiri ini telah mendedahkan saya pada realiti masyarakat hari ini.
" Saya merasakan kelainan setelah keluar dari kepompong Ibnu Khaldun. Di Ibnu Khaldun , kawan-kawan hanya yang baik-baik saja tapi di sini ada pelbagai ragam dan saya dapat belajar sesuatu yang baru." " Ye la...kita mesti kenal apa itu jahiliah juga. " Aku menambah.

Aku , mak cik yang terasa disuntik semangat , terus menyampuk....

" Kamu adalah sebaik-baik yang dikeluarkan bagi umat manusia , kamu menyuruh pada kebaikan dan kamu mencegah dari kemungkaran.....

Al Imran : 110


'Asma Ariffin pelajar Maahad Tahfiz Sains , Bukit Panau turut berkongsi yang mana pesanan Pak cik Razali katanya :

" Kita tidak cukup hanya menghafaz Al Quran tapi kita kena ' tadabbur ' ketika membacanya." Aku membenarkannya dan dengan menghafaz Quran , Asma' telah mempunyai tiket mudah untuk mentadabbur Al Quran. Asma' mengangguk setuju. Aku juga bercita-cita menghafaz AlQuran biarpun usia yang hampir senja.

Tak sangka aku diketemukan Allah dengan sahabat cyberku dari Kedah yang juga menghantar anaknya ke Kem ini . Kem ini juga memberikan aku banyak pengertian tentang kemahiran dakwah dan tarbiyah malah membuka mindaku terhadap satu lagi medan kerja-kerja Islam untuk diceburi.

Ye lah , selama lebih dua puluh tahun ini ...tumpuanku hanyalah untuk pembentukan anak-anak tadika. Mendekati remaja adalah suatu yang tidak menjadi pilihanku lantaran kemahiran yang tiada dalam genggaman . Kem Jatidiri kini menyuburkan langkah dakwah dan tarbiyyah buat diriku.

Aku juga mengkagumi kem jatidiri ini yang tidak pernah mengenepikan bakat dan fitrah remaja. Mencungkil dan menggilap bakat ' suara ' dan ' bermain alatan muzik' yang ada pada remaja merupakan satu peluang dalam mengisi medan dakwah. Masing-masing bekerja di medan dengan kemahiran yang ada untuk sebuah perjuangan yang mewarisi tugas-tugas ambiya'.

WAHAI ANAK-ANAK , JATIDIRI TIDAK BERAKHIR.....

Lantaran kalam suci Allah memerintahkan.....

" Dan hendaklah di antara kamu ada golongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. "

Ali Imran : 104


Dari " Cara Nabi Mendidik Anak "
karangan -Ir Muhammad Ibnu Abdul Hafidh Suwaid

" Jiwa tumbuh dengan kelembutan tarbiyyah sebagaimana badan tumbuh dengan makanan bergizi. Pertumbuhan badan ada batasnya namun pertumbuhan jiwa berjalan terus , sepanjang hanyat masih di kandung badan. "

Syeikh Muhammad Al Khidhir Husain , rahimahullah

Sunday, 22 November 2009

MEDANKU....

Konvokesyen Tadika Elitsuria baru saja selesai pada 20hb. Nov 2009. Untuk mempersembahkan bakat-bakat anak-anak yang diertikan ' Fitrah ' ini bukanlah satu usaha yang mudah bagi pendidik di Elitsuria.

Guru-guru membentuk dan menempa anak-anak dari sifar dengan sentuhan yang beragenda yang disaluti ketelitian. Anak-anak adalah insan yang masih belum matang dari segala aspek perkembangannya itu memerlukan kemahiran dari pendidik tentang tahap perkembangan dan pertumbuhan emosinya , koordinasi psikomotornya , mentalnya , fizikalnya, jiwanya dan sebagainya.

Mood anak-anak berbeza dengan orang dewasa. Kalau udah merajuk ,...hai..terganggu jadual dibuatnya. Ada yang tiba-tiba menangis di atas pentas apabila doa yang dibacanya lupa dek kegugupan. Iyeee....1st time naik pentas. Usah kata anak-anak , kita yang udah berkali turun naik pentas pun....gugup!!!

Aku pula lebih mengutamakan mendidik dari mengajar. Kita bukan saja mu'alim malah kita sebenarnya juga adalah murabbi. Tidak semua mu'alim adalah murabbi. Inilah nilai yang hilang dari sistem pendidikan kita.

Kalau dah suka , sukanya keterlampauan! Nampak saja cikgu yang mengajar pelajaran yang diminatinya...terus diserbu. Selagi tak diruangi permintaannya ,..akan berulang-ulanglah cikgu tersebut dihunjuni. Aku cukup terhibur bila kedengaran suara manja dari sikecil ,
" Cikgu ,cikgu hari ini kita joget ke ? " Bertepuk sorak bila kuhanggukkan pertanyaan mereka!

Aku mengajar anak-anak tentang kemahiran koordinasi psikomotor. Senang faham ia adalah muzik dan pergerakan yang merupakan salah satu aspek perkembangan anak-anak untuk diransang. Menggerakkan anggota mengikut muzik yang dimainkan. Bagi aku yang sudah senja ini , terasa tidak mudah mencipta geraktari tapi bagi anak-anak yang masih segar ini , sekali dua sudah pun menguasai kemahiran tersebut.

Ya , ada yang kata anak-anak ibarat 'span ' , ada juga yang kata ibarat ' recorder '. Apa saja yang diibaratkan oleh kita tapi rasulullah mengingatkan kita " Setiap anak yang baru dilahirkan itu lahir dengan membawa fitrah. Orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani . "

Luas sungguh cangkupan hadith rasulullah ini terutama bagi seorang pendidik. FITRAH membawa maksud KEIMANAN . Keimanan memang sudah tertanam bersama kelahiran kita. Tanpa ilmu, ditangan kita jualah hancurnya generasi kita apabila ' keimanan ' tersebut
tidak kita penuhi.
Mendapatkan pendidikan yang betul adalah hak setiap anak.



Islam telah lengkap dengan sistem pendidikannya. Kita lahir dengan kepatuhan. Sistem anggota kita patuh dan beriman pada penciptanya iaitu Allah As Shomad ( Esa ). Sistem badan kita tidak pernah tersilap menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah. Tak ada
pula jantung kata "Ah ! aku udah letih mengepam , aku nak jadi ususlah pula untuk memproses makanan atau mata kata , bagilah aku jadi telinga.."


Begitulah perkongsian ringkasku bersama ibubapa elitsuria yang kukasihi semasa hari konvo yang lalu. Pendidikan Islam membawa kita pada ber'ubudiah pada Allah. Tiada try and error dalam pendidikan malah bukan juga bisness oriented yang mengaup keuntungan tanpa menunaikan amanah Allah .

Pendidikan bukanlah satu perjudian malah ianya merupakan satu pelaburan untuk kehidupan yang abadi nanti. Satu kehidupan yang kian hari kian hampir dengan kita.

Aku begitu berbangga kerana makin tahun makin ramai ibubapa
Tadika Elitsuria berjaya dianugerahkan sebagai Ibubapa Perihatin. Ibubapa makin peka dan memahami
pakej pendidikan Elitsuria.

Komitmen merekalah yang akan membangunkan jiwa anak-anak mereka. Dengan komitmen ini jualah , berjayanya sahabatku ummu 'Ammar dalam usaha dan cita-citanya. 'Ammar pergi dengan satu keharuman pada kerja-kerja dakwah Islam. Sokongan dan kehadiran ibubapa dalam aktiviti -aktiviti tadika sebenarnya memberi tiupan semangat yang amat bermakna pada anak-anak dalam proses mendidik anak-anak secara tidak formal.

Aku terasa puas kerana inilah antara kerja-kerja Islam yang mampu disumbangkan untuk penerusan dakwah. Biarpun anak-anak menjadi medanku tapi mudah-mudahan ianya menjadi hadiah yang amat bermakna bagiku.

Friday, 6 November 2009

BULAN HAJI TIBA LAGI....


Bulan haji telah tiba lagi..,

Labbaikallah hummalabaik , Labaikala syarikala kala baik....

Alunan-alunan yang menyegarkan ingatanku pada langkah-langkah tika aku menuju Baitullah pada 1429H yang lalu...benar-benar menggamit rindu yang menitiskan manik-manik jernih di pipiku. Rindu yang tidak bisa kukongsikan dengan sesiapa pun melainkan Al Khaliq yang amat mendalam mengetahuiNya.

Pagi 20hb Nov 2009 , tiba di Makkah dan disambut mesra oleh petugas tabung haji dan Hotel Sevilla Barakah, mataku mencelah-celah di sebalik bangunan mencari-cari di manakah Kaabah. Kami dimaklumkan bahawa jarak kediaman dengan Masjidil Haram adalah sejauh 800m.

Memang tak sabar , tak sabar.....
Setelah selesai mengalas perut dengan sarapan 10pagi , aku dan suami serta teman sebilik pun mula menapak sejauh 800m yang mana pertama kali aku membetis setelah kesekian usia. Namun syukur , suasana di Makkah membuak-buakkan kecergasan dan sama sekali tidak sama dengan Tanah air.
" Ah! Nikmat Allah , Allah mampu berbuat apa saja"
Hatiku makin mengakuinya.


Keinginan dan pengharapan seperti melenyapkan ingatan pada kerehatan biarpun baru saja melalui perjalanan penerbangan dan bas dari Malaysia ke Jeddah ke Makkah yang kira-kira hampir melebihi 12 jam.

Aku bagaikan diheret dalam mimpi yang nyata....Memang bukan mimpi tapi bagaikan mimpi yang diimpikan. Aaah....
sudah menjadi kenyataan kini. Depan mataku kaabah! Bumi suci yang pertama berkumandangnya seruan La ilaha ilallah
oleh junjungan tercinta Muhammad saw kini telapakku di atasnya.

Ya Allah.. sungguh ,tanpa rahmat dan rahimMu sudah pasti tiada daya aku ke sini.
Tak percaya , pertama kali aku melihat Kaabah....menitis airmata yang aku tak percaya kunjungan pelbagai perasaan di kalbuku. Ampunkanlah dosa-dosaku dan bebaskanlah kami dari segala kekufuran , Ya Allah...Ya ghofur wa Rahim

Terdetik di hati akan anak-anak yang diserahkan pada Allah akan segala urusan dan juga ibu dan adik-adik yang sanggup mengambil alih tugas kami semasa ke Makkah , syukur pada Allah yang Maha Pengatur. Semoga iringan doa-doa mereka...aku ke bumi barakah ini membawa harapan kami bersama. Ya , harapan menjadi hamba yang melihat dunia dari jendela akhirat....ya satu ungkapan yang tepat.

Kata-kata hikmat anak didikku 'Ammar, " melihat dunia dari jendela akhirat " tiba-tiba menebalkan ingatanku pada 'Ammar tatkala jari-jari ini menaip keyboard laptobku.

Pagi tadi aku dihubungi ummur 'Ammar melalui talipon bimbitnya. 'Ammar masih menjadi topik perbualan kami. Rindunya masih menebal malah akan terus berbekas di jiwa seorang ibu.
Ummu 'Ammar seorang yang tidak lokek apa saja...biarpun masa , wang ringgit dan tenaga malah memorinya bersama 'Ammar.

Dalam kesempatan dihubungi itu, aku mengambil peluang meminta beberapa keping gambar 'Ammar untukku moviekan semasa majlis konvokesyen anak-anak tadikaku di New Pacific Hotel 20hb. Nov 2009. Nanti ku uploadkan movie tu ke You tube dan facebook Miz Jana.

Terima kasih sahabatku ,...atas perkongsian yang amat bermakna buatku yang pernah hadir dalam awal tahun-tahun diari hidup mujahidmu. Sesungguhnya kau telah menghadiahkanku
permata hatimu. Moga kita jua akan bahagia seperti 'Ammar yang sedang merasa tuaiannya kini.


Ah...jauh ku termengelamun......kembali semula ke hajiku .
Umrah kami dimulakan dengan tawaf qudum kemudian bersaie ya...kami melakukan Haji Tamattuk. Iaitu melakukan umrah dahulu sambil menunggu tibanya 10Zulhijjah untuk melaksanakan haji. Berbekalkan setiap yang dipelajari , hari-hari kami lalui apa saja dengan terus mendidik jiwa dan mengharap keredhaan Allah serta menghayati perjuangan ambiya'.

Kami jua tidak asing daripada ujian dari Allah. Demam batuk adalah suasana lumrah pada musim haji. Sistem badan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menerima perubahan persekitaran dan rutin kami di sana.

Hari berlalu , kami tertunggu-tunggukan kemuncak ' amalan' yang menuntut semua umat Islam ke sana . Ya...10 zulhijjah dan hari-hari tasyrik. Ibadat haji , bermula dengan berhimpun di 'Arafah pada 9 zulhijjah.

Di 'Arafah kedinginan malam berlarutan sebelum terpacaknya matahari zohor bagaikan menggigit tubuh hingga ada yang luka dan berdarah. Apa saja , cukup terasa kemanisan iman masa di sini walaupun dalam seribu kepayahan ujian. Tiada siapa yang mampu menuntut keselesaan seperti di rumahnya.
Hanya kekuatan jiwa kepada ' wa kafabillahi wakila' ( Allah yang mencukupi dan tempat diserahkan ) sajalah yang mengheret keupayaanku.

Kami berhimpun di sini berlantaikan karpet yang menyelaputi muka bumi yang beralun-alun dan beratapkan dan berdindingkan kain. Cuaca yang teramat dingin tatkala dinginnya dan terik yang teramat terik tatkala panasnya seolah mendetikkan aku ...inikah bumi Mahsyar nanti???Allahu'alam...

'Arafah , tempat berhimpunnya jemaah haji serentak tiga juta itu,...tidak dapatku usulkan mana tempat permulaan dan berakhirnya..'Arafah , tempat paling banyak terhamburnya cucuran air mata...'Arafah , mengimbau dosa-dosa yang lalu. 'Arafah , waktu yang ' makbul doa '. Ya Allah Ya Ghobir ( yang amat mendalami mengetahuinya ).. ' Kau ' telah memakbulkan setiap yang kupohon.....

Malam 10 zulhijjah kami beransur ke Muzdhalifah , mengutip anak-anak batu untuk merejam ' nafsu jahat diri ' dan mabit ( bermalam sebentar ) adalah sunnah rasul saw. Masih terdengar-dengar lagi suara pak-pak arab yang berteriak masyuuuk! Masyuuk! Bilakang ! Bilakang ! Menghambat kami naik bas yang hendaklah dipenuhkan semaksima mungkin. Nak tergelak pun ada. Kih! Kih! Kih! Kami dihambat macam kambing tapi apa boleh buat...udah begitu resam agaknya. Semua manusia sama rata tarafnya melainkan ' Iman ' yang membezakan.

Dalam berhimpit , dihimpit dan terhimpit kami tiba di Mina yang sebenarnya tidak berapa jauh dari Muzdhalifah tapi ' musim haji ' masa dan jarak adalah sukar dijangkakan. Kalau zaman rasullullah perjalanan haji tidak beribut dengan jumlah manusia yang berjuta tapi mungkin diuji dengan sunnah 'alam yang lain. Walau bagaimanapun...inilah perjalanan haji..'bersabarr apa jua'.....

Hari-hari tasyrik kami berada di Mina , berulang-alik melontar di Jamrah dan disusuli ibadah-ibadah tertentu. Apa jua keadaan , tidur , makan minum ,berkemas diri , solat dan melontar jamrah....redhokan saja suasana yang dihadapi, pasti keluasan dan kemudahan Allah itu mengiringi segalanya.

Perjalanan kembali ke Makkah selepas hari terakhir melontar , jua tiada jaminan cepat sampai kerana difaktorkan pelbagai sebab...mungkin pemandu bas yang kurang mahir akan laluan kerana bekerja pada musim haji saja , kenderaan dan manusia yang tak terbilang jumlahnya di jalanan.

Sepagi menunggu giliran bas , menjelang zohor barulah berpeluang menaiki bas. Setiba di Makkah , kami diturunkan dan terus menggunakan kenderaan asli ' roda dua kaki ' membetis ke hotel biarpun dalam bas tadi tertidur keletihan sambil berdiri,...kami masih diberi keupayaan menapak ke hotel yang agak jauh dari tempat kami diturunkan oleh bas. Ya...tiada siapa yang mengimpikan keselesaan dalam perjalanan haji.

Tawaf dan saei haji adalah antara yang membebaskan kami dari ihram dan dilaksanakan sebelum menjelang subuh. Alhamdulillah , syukur telah sempurna semua tuntutan rukun haji. Tawaf wida' ( selamat tinggal ) di keheningan subuh , aku menghimpunkan segala doa agar kami diupayakan lagi oleh Allah kembali menjejak bumi suci ini. Begitu jua dengan zuriat dan adik beradik kami dan seluruh umat Islam , moga Allah kurniakan kemampuan mengecapi kebahagiaan dan kemanisan iman ini.

Memori yang tercatat dalam diari perjalanan haji kami, biarpun perit jerih manapun, namun tetap terasa tidak terhingga manisnya......
Kini , rindu kami pada Makkah tak pernah berakhir.......
Hati tetap meruntun doa agar 1431 dapat berumrah ke sana pula....