Followers

Sunday 22 November 2009

MEDANKU....

Konvokesyen Tadika Elitsuria baru saja selesai pada 20hb. Nov 2009. Untuk mempersembahkan bakat-bakat anak-anak yang diertikan ' Fitrah ' ini bukanlah satu usaha yang mudah bagi pendidik di Elitsuria.

Guru-guru membentuk dan menempa anak-anak dari sifar dengan sentuhan yang beragenda yang disaluti ketelitian. Anak-anak adalah insan yang masih belum matang dari segala aspek perkembangannya itu memerlukan kemahiran dari pendidik tentang tahap perkembangan dan pertumbuhan emosinya , koordinasi psikomotornya , mentalnya , fizikalnya, jiwanya dan sebagainya.

Mood anak-anak berbeza dengan orang dewasa. Kalau udah merajuk ,...hai..terganggu jadual dibuatnya. Ada yang tiba-tiba menangis di atas pentas apabila doa yang dibacanya lupa dek kegugupan. Iyeee....1st time naik pentas. Usah kata anak-anak , kita yang udah berkali turun naik pentas pun....gugup!!!

Aku pula lebih mengutamakan mendidik dari mengajar. Kita bukan saja mu'alim malah kita sebenarnya juga adalah murabbi. Tidak semua mu'alim adalah murabbi. Inilah nilai yang hilang dari sistem pendidikan kita.

Kalau dah suka , sukanya keterlampauan! Nampak saja cikgu yang mengajar pelajaran yang diminatinya...terus diserbu. Selagi tak diruangi permintaannya ,..akan berulang-ulanglah cikgu tersebut dihunjuni. Aku cukup terhibur bila kedengaran suara manja dari sikecil ,
" Cikgu ,cikgu hari ini kita joget ke ? " Bertepuk sorak bila kuhanggukkan pertanyaan mereka!

Aku mengajar anak-anak tentang kemahiran koordinasi psikomotor. Senang faham ia adalah muzik dan pergerakan yang merupakan salah satu aspek perkembangan anak-anak untuk diransang. Menggerakkan anggota mengikut muzik yang dimainkan. Bagi aku yang sudah senja ini , terasa tidak mudah mencipta geraktari tapi bagi anak-anak yang masih segar ini , sekali dua sudah pun menguasai kemahiran tersebut.

Ya , ada yang kata anak-anak ibarat 'span ' , ada juga yang kata ibarat ' recorder '. Apa saja yang diibaratkan oleh kita tapi rasulullah mengingatkan kita " Setiap anak yang baru dilahirkan itu lahir dengan membawa fitrah. Orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani . "

Luas sungguh cangkupan hadith rasulullah ini terutama bagi seorang pendidik. FITRAH membawa maksud KEIMANAN . Keimanan memang sudah tertanam bersama kelahiran kita. Tanpa ilmu, ditangan kita jualah hancurnya generasi kita apabila ' keimanan ' tersebut
tidak kita penuhi.
Mendapatkan pendidikan yang betul adalah hak setiap anak.



Islam telah lengkap dengan sistem pendidikannya. Kita lahir dengan kepatuhan. Sistem anggota kita patuh dan beriman pada penciptanya iaitu Allah As Shomad ( Esa ). Sistem badan kita tidak pernah tersilap menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah. Tak ada
pula jantung kata "Ah ! aku udah letih mengepam , aku nak jadi ususlah pula untuk memproses makanan atau mata kata , bagilah aku jadi telinga.."


Begitulah perkongsian ringkasku bersama ibubapa elitsuria yang kukasihi semasa hari konvo yang lalu. Pendidikan Islam membawa kita pada ber'ubudiah pada Allah. Tiada try and error dalam pendidikan malah bukan juga bisness oriented yang mengaup keuntungan tanpa menunaikan amanah Allah .

Pendidikan bukanlah satu perjudian malah ianya merupakan satu pelaburan untuk kehidupan yang abadi nanti. Satu kehidupan yang kian hari kian hampir dengan kita.

Aku begitu berbangga kerana makin tahun makin ramai ibubapa
Tadika Elitsuria berjaya dianugerahkan sebagai Ibubapa Perihatin. Ibubapa makin peka dan memahami
pakej pendidikan Elitsuria.

Komitmen merekalah yang akan membangunkan jiwa anak-anak mereka. Dengan komitmen ini jualah , berjayanya sahabatku ummu 'Ammar dalam usaha dan cita-citanya. 'Ammar pergi dengan satu keharuman pada kerja-kerja dakwah Islam. Sokongan dan kehadiran ibubapa dalam aktiviti -aktiviti tadika sebenarnya memberi tiupan semangat yang amat bermakna pada anak-anak dalam proses mendidik anak-anak secara tidak formal.

Aku terasa puas kerana inilah antara kerja-kerja Islam yang mampu disumbangkan untuk penerusan dakwah. Biarpun anak-anak menjadi medanku tapi mudah-mudahan ianya menjadi hadiah yang amat bermakna bagiku.

Friday 6 November 2009

BULAN HAJI TIBA LAGI....


Bulan haji telah tiba lagi..,

Labbaikallah hummalabaik , Labaikala syarikala kala baik....

Alunan-alunan yang menyegarkan ingatanku pada langkah-langkah tika aku menuju Baitullah pada 1429H yang lalu...benar-benar menggamit rindu yang menitiskan manik-manik jernih di pipiku. Rindu yang tidak bisa kukongsikan dengan sesiapa pun melainkan Al Khaliq yang amat mendalam mengetahuiNya.

Pagi 20hb Nov 2009 , tiba di Makkah dan disambut mesra oleh petugas tabung haji dan Hotel Sevilla Barakah, mataku mencelah-celah di sebalik bangunan mencari-cari di manakah Kaabah. Kami dimaklumkan bahawa jarak kediaman dengan Masjidil Haram adalah sejauh 800m.

Memang tak sabar , tak sabar.....
Setelah selesai mengalas perut dengan sarapan 10pagi , aku dan suami serta teman sebilik pun mula menapak sejauh 800m yang mana pertama kali aku membetis setelah kesekian usia. Namun syukur , suasana di Makkah membuak-buakkan kecergasan dan sama sekali tidak sama dengan Tanah air.
" Ah! Nikmat Allah , Allah mampu berbuat apa saja"
Hatiku makin mengakuinya.


Keinginan dan pengharapan seperti melenyapkan ingatan pada kerehatan biarpun baru saja melalui perjalanan penerbangan dan bas dari Malaysia ke Jeddah ke Makkah yang kira-kira hampir melebihi 12 jam.

Aku bagaikan diheret dalam mimpi yang nyata....Memang bukan mimpi tapi bagaikan mimpi yang diimpikan. Aaah....
sudah menjadi kenyataan kini. Depan mataku kaabah! Bumi suci yang pertama berkumandangnya seruan La ilaha ilallah
oleh junjungan tercinta Muhammad saw kini telapakku di atasnya.

Ya Allah.. sungguh ,tanpa rahmat dan rahimMu sudah pasti tiada daya aku ke sini.
Tak percaya , pertama kali aku melihat Kaabah....menitis airmata yang aku tak percaya kunjungan pelbagai perasaan di kalbuku. Ampunkanlah dosa-dosaku dan bebaskanlah kami dari segala kekufuran , Ya Allah...Ya ghofur wa Rahim

Terdetik di hati akan anak-anak yang diserahkan pada Allah akan segala urusan dan juga ibu dan adik-adik yang sanggup mengambil alih tugas kami semasa ke Makkah , syukur pada Allah yang Maha Pengatur. Semoga iringan doa-doa mereka...aku ke bumi barakah ini membawa harapan kami bersama. Ya , harapan menjadi hamba yang melihat dunia dari jendela akhirat....ya satu ungkapan yang tepat.

Kata-kata hikmat anak didikku 'Ammar, " melihat dunia dari jendela akhirat " tiba-tiba menebalkan ingatanku pada 'Ammar tatkala jari-jari ini menaip keyboard laptobku.

Pagi tadi aku dihubungi ummur 'Ammar melalui talipon bimbitnya. 'Ammar masih menjadi topik perbualan kami. Rindunya masih menebal malah akan terus berbekas di jiwa seorang ibu.
Ummu 'Ammar seorang yang tidak lokek apa saja...biarpun masa , wang ringgit dan tenaga malah memorinya bersama 'Ammar.

Dalam kesempatan dihubungi itu, aku mengambil peluang meminta beberapa keping gambar 'Ammar untukku moviekan semasa majlis konvokesyen anak-anak tadikaku di New Pacific Hotel 20hb. Nov 2009. Nanti ku uploadkan movie tu ke You tube dan facebook Miz Jana.

Terima kasih sahabatku ,...atas perkongsian yang amat bermakna buatku yang pernah hadir dalam awal tahun-tahun diari hidup mujahidmu. Sesungguhnya kau telah menghadiahkanku
permata hatimu. Moga kita jua akan bahagia seperti 'Ammar yang sedang merasa tuaiannya kini.


Ah...jauh ku termengelamun......kembali semula ke hajiku .
Umrah kami dimulakan dengan tawaf qudum kemudian bersaie ya...kami melakukan Haji Tamattuk. Iaitu melakukan umrah dahulu sambil menunggu tibanya 10Zulhijjah untuk melaksanakan haji. Berbekalkan setiap yang dipelajari , hari-hari kami lalui apa saja dengan terus mendidik jiwa dan mengharap keredhaan Allah serta menghayati perjuangan ambiya'.

Kami jua tidak asing daripada ujian dari Allah. Demam batuk adalah suasana lumrah pada musim haji. Sistem badan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menerima perubahan persekitaran dan rutin kami di sana.

Hari berlalu , kami tertunggu-tunggukan kemuncak ' amalan' yang menuntut semua umat Islam ke sana . Ya...10 zulhijjah dan hari-hari tasyrik. Ibadat haji , bermula dengan berhimpun di 'Arafah pada 9 zulhijjah.

Di 'Arafah kedinginan malam berlarutan sebelum terpacaknya matahari zohor bagaikan menggigit tubuh hingga ada yang luka dan berdarah. Apa saja , cukup terasa kemanisan iman masa di sini walaupun dalam seribu kepayahan ujian. Tiada siapa yang mampu menuntut keselesaan seperti di rumahnya.
Hanya kekuatan jiwa kepada ' wa kafabillahi wakila' ( Allah yang mencukupi dan tempat diserahkan ) sajalah yang mengheret keupayaanku.

Kami berhimpun di sini berlantaikan karpet yang menyelaputi muka bumi yang beralun-alun dan beratapkan dan berdindingkan kain. Cuaca yang teramat dingin tatkala dinginnya dan terik yang teramat terik tatkala panasnya seolah mendetikkan aku ...inikah bumi Mahsyar nanti???Allahu'alam...

'Arafah , tempat berhimpunnya jemaah haji serentak tiga juta itu,...tidak dapatku usulkan mana tempat permulaan dan berakhirnya..'Arafah , tempat paling banyak terhamburnya cucuran air mata...'Arafah , mengimbau dosa-dosa yang lalu. 'Arafah , waktu yang ' makbul doa '. Ya Allah Ya Ghobir ( yang amat mendalami mengetahuinya ).. ' Kau ' telah memakbulkan setiap yang kupohon.....

Malam 10 zulhijjah kami beransur ke Muzdhalifah , mengutip anak-anak batu untuk merejam ' nafsu jahat diri ' dan mabit ( bermalam sebentar ) adalah sunnah rasul saw. Masih terdengar-dengar lagi suara pak-pak arab yang berteriak masyuuuk! Masyuuk! Bilakang ! Bilakang ! Menghambat kami naik bas yang hendaklah dipenuhkan semaksima mungkin. Nak tergelak pun ada. Kih! Kih! Kih! Kami dihambat macam kambing tapi apa boleh buat...udah begitu resam agaknya. Semua manusia sama rata tarafnya melainkan ' Iman ' yang membezakan.

Dalam berhimpit , dihimpit dan terhimpit kami tiba di Mina yang sebenarnya tidak berapa jauh dari Muzdhalifah tapi ' musim haji ' masa dan jarak adalah sukar dijangkakan. Kalau zaman rasullullah perjalanan haji tidak beribut dengan jumlah manusia yang berjuta tapi mungkin diuji dengan sunnah 'alam yang lain. Walau bagaimanapun...inilah perjalanan haji..'bersabarr apa jua'.....

Hari-hari tasyrik kami berada di Mina , berulang-alik melontar di Jamrah dan disusuli ibadah-ibadah tertentu. Apa jua keadaan , tidur , makan minum ,berkemas diri , solat dan melontar jamrah....redhokan saja suasana yang dihadapi, pasti keluasan dan kemudahan Allah itu mengiringi segalanya.

Perjalanan kembali ke Makkah selepas hari terakhir melontar , jua tiada jaminan cepat sampai kerana difaktorkan pelbagai sebab...mungkin pemandu bas yang kurang mahir akan laluan kerana bekerja pada musim haji saja , kenderaan dan manusia yang tak terbilang jumlahnya di jalanan.

Sepagi menunggu giliran bas , menjelang zohor barulah berpeluang menaiki bas. Setiba di Makkah , kami diturunkan dan terus menggunakan kenderaan asli ' roda dua kaki ' membetis ke hotel biarpun dalam bas tadi tertidur keletihan sambil berdiri,...kami masih diberi keupayaan menapak ke hotel yang agak jauh dari tempat kami diturunkan oleh bas. Ya...tiada siapa yang mengimpikan keselesaan dalam perjalanan haji.

Tawaf dan saei haji adalah antara yang membebaskan kami dari ihram dan dilaksanakan sebelum menjelang subuh. Alhamdulillah , syukur telah sempurna semua tuntutan rukun haji. Tawaf wida' ( selamat tinggal ) di keheningan subuh , aku menghimpunkan segala doa agar kami diupayakan lagi oleh Allah kembali menjejak bumi suci ini. Begitu jua dengan zuriat dan adik beradik kami dan seluruh umat Islam , moga Allah kurniakan kemampuan mengecapi kebahagiaan dan kemanisan iman ini.

Memori yang tercatat dalam diari perjalanan haji kami, biarpun perit jerih manapun, namun tetap terasa tidak terhingga manisnya......
Kini , rindu kami pada Makkah tak pernah berakhir.......
Hati tetap meruntun doa agar 1431 dapat berumrah ke sana pula....