Followers

Sunday 22 November 2009

MEDANKU....

Konvokesyen Tadika Elitsuria baru saja selesai pada 20hb. Nov 2009. Untuk mempersembahkan bakat-bakat anak-anak yang diertikan ' Fitrah ' ini bukanlah satu usaha yang mudah bagi pendidik di Elitsuria.

Guru-guru membentuk dan menempa anak-anak dari sifar dengan sentuhan yang beragenda yang disaluti ketelitian. Anak-anak adalah insan yang masih belum matang dari segala aspek perkembangannya itu memerlukan kemahiran dari pendidik tentang tahap perkembangan dan pertumbuhan emosinya , koordinasi psikomotornya , mentalnya , fizikalnya, jiwanya dan sebagainya.

Mood anak-anak berbeza dengan orang dewasa. Kalau udah merajuk ,...hai..terganggu jadual dibuatnya. Ada yang tiba-tiba menangis di atas pentas apabila doa yang dibacanya lupa dek kegugupan. Iyeee....1st time naik pentas. Usah kata anak-anak , kita yang udah berkali turun naik pentas pun....gugup!!!

Aku pula lebih mengutamakan mendidik dari mengajar. Kita bukan saja mu'alim malah kita sebenarnya juga adalah murabbi. Tidak semua mu'alim adalah murabbi. Inilah nilai yang hilang dari sistem pendidikan kita.

Kalau dah suka , sukanya keterlampauan! Nampak saja cikgu yang mengajar pelajaran yang diminatinya...terus diserbu. Selagi tak diruangi permintaannya ,..akan berulang-ulanglah cikgu tersebut dihunjuni. Aku cukup terhibur bila kedengaran suara manja dari sikecil ,
" Cikgu ,cikgu hari ini kita joget ke ? " Bertepuk sorak bila kuhanggukkan pertanyaan mereka!

Aku mengajar anak-anak tentang kemahiran koordinasi psikomotor. Senang faham ia adalah muzik dan pergerakan yang merupakan salah satu aspek perkembangan anak-anak untuk diransang. Menggerakkan anggota mengikut muzik yang dimainkan. Bagi aku yang sudah senja ini , terasa tidak mudah mencipta geraktari tapi bagi anak-anak yang masih segar ini , sekali dua sudah pun menguasai kemahiran tersebut.

Ya , ada yang kata anak-anak ibarat 'span ' , ada juga yang kata ibarat ' recorder '. Apa saja yang diibaratkan oleh kita tapi rasulullah mengingatkan kita " Setiap anak yang baru dilahirkan itu lahir dengan membawa fitrah. Orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani . "

Luas sungguh cangkupan hadith rasulullah ini terutama bagi seorang pendidik. FITRAH membawa maksud KEIMANAN . Keimanan memang sudah tertanam bersama kelahiran kita. Tanpa ilmu, ditangan kita jualah hancurnya generasi kita apabila ' keimanan ' tersebut
tidak kita penuhi.
Mendapatkan pendidikan yang betul adalah hak setiap anak.



Islam telah lengkap dengan sistem pendidikannya. Kita lahir dengan kepatuhan. Sistem anggota kita patuh dan beriman pada penciptanya iaitu Allah As Shomad ( Esa ). Sistem badan kita tidak pernah tersilap menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah. Tak ada
pula jantung kata "Ah ! aku udah letih mengepam , aku nak jadi ususlah pula untuk memproses makanan atau mata kata , bagilah aku jadi telinga.."


Begitulah perkongsian ringkasku bersama ibubapa elitsuria yang kukasihi semasa hari konvo yang lalu. Pendidikan Islam membawa kita pada ber'ubudiah pada Allah. Tiada try and error dalam pendidikan malah bukan juga bisness oriented yang mengaup keuntungan tanpa menunaikan amanah Allah .

Pendidikan bukanlah satu perjudian malah ianya merupakan satu pelaburan untuk kehidupan yang abadi nanti. Satu kehidupan yang kian hari kian hampir dengan kita.

Aku begitu berbangga kerana makin tahun makin ramai ibubapa
Tadika Elitsuria berjaya dianugerahkan sebagai Ibubapa Perihatin. Ibubapa makin peka dan memahami
pakej pendidikan Elitsuria.

Komitmen merekalah yang akan membangunkan jiwa anak-anak mereka. Dengan komitmen ini jualah , berjayanya sahabatku ummu 'Ammar dalam usaha dan cita-citanya. 'Ammar pergi dengan satu keharuman pada kerja-kerja dakwah Islam. Sokongan dan kehadiran ibubapa dalam aktiviti -aktiviti tadika sebenarnya memberi tiupan semangat yang amat bermakna pada anak-anak dalam proses mendidik anak-anak secara tidak formal.

Aku terasa puas kerana inilah antara kerja-kerja Islam yang mampu disumbangkan untuk penerusan dakwah. Biarpun anak-anak menjadi medanku tapi mudah-mudahan ianya menjadi hadiah yang amat bermakna bagiku.

Friday 6 November 2009

BULAN HAJI TIBA LAGI....


Bulan haji telah tiba lagi..,

Labbaikallah hummalabaik , Labaikala syarikala kala baik....

Alunan-alunan yang menyegarkan ingatanku pada langkah-langkah tika aku menuju Baitullah pada 1429H yang lalu...benar-benar menggamit rindu yang menitiskan manik-manik jernih di pipiku. Rindu yang tidak bisa kukongsikan dengan sesiapa pun melainkan Al Khaliq yang amat mendalam mengetahuiNya.

Pagi 20hb Nov 2009 , tiba di Makkah dan disambut mesra oleh petugas tabung haji dan Hotel Sevilla Barakah, mataku mencelah-celah di sebalik bangunan mencari-cari di manakah Kaabah. Kami dimaklumkan bahawa jarak kediaman dengan Masjidil Haram adalah sejauh 800m.

Memang tak sabar , tak sabar.....
Setelah selesai mengalas perut dengan sarapan 10pagi , aku dan suami serta teman sebilik pun mula menapak sejauh 800m yang mana pertama kali aku membetis setelah kesekian usia. Namun syukur , suasana di Makkah membuak-buakkan kecergasan dan sama sekali tidak sama dengan Tanah air.
" Ah! Nikmat Allah , Allah mampu berbuat apa saja"
Hatiku makin mengakuinya.


Keinginan dan pengharapan seperti melenyapkan ingatan pada kerehatan biarpun baru saja melalui perjalanan penerbangan dan bas dari Malaysia ke Jeddah ke Makkah yang kira-kira hampir melebihi 12 jam.

Aku bagaikan diheret dalam mimpi yang nyata....Memang bukan mimpi tapi bagaikan mimpi yang diimpikan. Aaah....
sudah menjadi kenyataan kini. Depan mataku kaabah! Bumi suci yang pertama berkumandangnya seruan La ilaha ilallah
oleh junjungan tercinta Muhammad saw kini telapakku di atasnya.

Ya Allah.. sungguh ,tanpa rahmat dan rahimMu sudah pasti tiada daya aku ke sini.
Tak percaya , pertama kali aku melihat Kaabah....menitis airmata yang aku tak percaya kunjungan pelbagai perasaan di kalbuku. Ampunkanlah dosa-dosaku dan bebaskanlah kami dari segala kekufuran , Ya Allah...Ya ghofur wa Rahim

Terdetik di hati akan anak-anak yang diserahkan pada Allah akan segala urusan dan juga ibu dan adik-adik yang sanggup mengambil alih tugas kami semasa ke Makkah , syukur pada Allah yang Maha Pengatur. Semoga iringan doa-doa mereka...aku ke bumi barakah ini membawa harapan kami bersama. Ya , harapan menjadi hamba yang melihat dunia dari jendela akhirat....ya satu ungkapan yang tepat.

Kata-kata hikmat anak didikku 'Ammar, " melihat dunia dari jendela akhirat " tiba-tiba menebalkan ingatanku pada 'Ammar tatkala jari-jari ini menaip keyboard laptobku.

Pagi tadi aku dihubungi ummur 'Ammar melalui talipon bimbitnya. 'Ammar masih menjadi topik perbualan kami. Rindunya masih menebal malah akan terus berbekas di jiwa seorang ibu.
Ummu 'Ammar seorang yang tidak lokek apa saja...biarpun masa , wang ringgit dan tenaga malah memorinya bersama 'Ammar.

Dalam kesempatan dihubungi itu, aku mengambil peluang meminta beberapa keping gambar 'Ammar untukku moviekan semasa majlis konvokesyen anak-anak tadikaku di New Pacific Hotel 20hb. Nov 2009. Nanti ku uploadkan movie tu ke You tube dan facebook Miz Jana.

Terima kasih sahabatku ,...atas perkongsian yang amat bermakna buatku yang pernah hadir dalam awal tahun-tahun diari hidup mujahidmu. Sesungguhnya kau telah menghadiahkanku
permata hatimu. Moga kita jua akan bahagia seperti 'Ammar yang sedang merasa tuaiannya kini.


Ah...jauh ku termengelamun......kembali semula ke hajiku .
Umrah kami dimulakan dengan tawaf qudum kemudian bersaie ya...kami melakukan Haji Tamattuk. Iaitu melakukan umrah dahulu sambil menunggu tibanya 10Zulhijjah untuk melaksanakan haji. Berbekalkan setiap yang dipelajari , hari-hari kami lalui apa saja dengan terus mendidik jiwa dan mengharap keredhaan Allah serta menghayati perjuangan ambiya'.

Kami jua tidak asing daripada ujian dari Allah. Demam batuk adalah suasana lumrah pada musim haji. Sistem badan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menerima perubahan persekitaran dan rutin kami di sana.

Hari berlalu , kami tertunggu-tunggukan kemuncak ' amalan' yang menuntut semua umat Islam ke sana . Ya...10 zulhijjah dan hari-hari tasyrik. Ibadat haji , bermula dengan berhimpun di 'Arafah pada 9 zulhijjah.

Di 'Arafah kedinginan malam berlarutan sebelum terpacaknya matahari zohor bagaikan menggigit tubuh hingga ada yang luka dan berdarah. Apa saja , cukup terasa kemanisan iman masa di sini walaupun dalam seribu kepayahan ujian. Tiada siapa yang mampu menuntut keselesaan seperti di rumahnya.
Hanya kekuatan jiwa kepada ' wa kafabillahi wakila' ( Allah yang mencukupi dan tempat diserahkan ) sajalah yang mengheret keupayaanku.

Kami berhimpun di sini berlantaikan karpet yang menyelaputi muka bumi yang beralun-alun dan beratapkan dan berdindingkan kain. Cuaca yang teramat dingin tatkala dinginnya dan terik yang teramat terik tatkala panasnya seolah mendetikkan aku ...inikah bumi Mahsyar nanti???Allahu'alam...

'Arafah , tempat berhimpunnya jemaah haji serentak tiga juta itu,...tidak dapatku usulkan mana tempat permulaan dan berakhirnya..'Arafah , tempat paling banyak terhamburnya cucuran air mata...'Arafah , mengimbau dosa-dosa yang lalu. 'Arafah , waktu yang ' makbul doa '. Ya Allah Ya Ghobir ( yang amat mendalami mengetahuinya ).. ' Kau ' telah memakbulkan setiap yang kupohon.....

Malam 10 zulhijjah kami beransur ke Muzdhalifah , mengutip anak-anak batu untuk merejam ' nafsu jahat diri ' dan mabit ( bermalam sebentar ) adalah sunnah rasul saw. Masih terdengar-dengar lagi suara pak-pak arab yang berteriak masyuuuk! Masyuuk! Bilakang ! Bilakang ! Menghambat kami naik bas yang hendaklah dipenuhkan semaksima mungkin. Nak tergelak pun ada. Kih! Kih! Kih! Kami dihambat macam kambing tapi apa boleh buat...udah begitu resam agaknya. Semua manusia sama rata tarafnya melainkan ' Iman ' yang membezakan.

Dalam berhimpit , dihimpit dan terhimpit kami tiba di Mina yang sebenarnya tidak berapa jauh dari Muzdhalifah tapi ' musim haji ' masa dan jarak adalah sukar dijangkakan. Kalau zaman rasullullah perjalanan haji tidak beribut dengan jumlah manusia yang berjuta tapi mungkin diuji dengan sunnah 'alam yang lain. Walau bagaimanapun...inilah perjalanan haji..'bersabarr apa jua'.....

Hari-hari tasyrik kami berada di Mina , berulang-alik melontar di Jamrah dan disusuli ibadah-ibadah tertentu. Apa jua keadaan , tidur , makan minum ,berkemas diri , solat dan melontar jamrah....redhokan saja suasana yang dihadapi, pasti keluasan dan kemudahan Allah itu mengiringi segalanya.

Perjalanan kembali ke Makkah selepas hari terakhir melontar , jua tiada jaminan cepat sampai kerana difaktorkan pelbagai sebab...mungkin pemandu bas yang kurang mahir akan laluan kerana bekerja pada musim haji saja , kenderaan dan manusia yang tak terbilang jumlahnya di jalanan.

Sepagi menunggu giliran bas , menjelang zohor barulah berpeluang menaiki bas. Setiba di Makkah , kami diturunkan dan terus menggunakan kenderaan asli ' roda dua kaki ' membetis ke hotel biarpun dalam bas tadi tertidur keletihan sambil berdiri,...kami masih diberi keupayaan menapak ke hotel yang agak jauh dari tempat kami diturunkan oleh bas. Ya...tiada siapa yang mengimpikan keselesaan dalam perjalanan haji.

Tawaf dan saei haji adalah antara yang membebaskan kami dari ihram dan dilaksanakan sebelum menjelang subuh. Alhamdulillah , syukur telah sempurna semua tuntutan rukun haji. Tawaf wida' ( selamat tinggal ) di keheningan subuh , aku menghimpunkan segala doa agar kami diupayakan lagi oleh Allah kembali menjejak bumi suci ini. Begitu jua dengan zuriat dan adik beradik kami dan seluruh umat Islam , moga Allah kurniakan kemampuan mengecapi kebahagiaan dan kemanisan iman ini.

Memori yang tercatat dalam diari perjalanan haji kami, biarpun perit jerih manapun, namun tetap terasa tidak terhingga manisnya......
Kini , rindu kami pada Makkah tak pernah berakhir.......
Hati tetap meruntun doa agar 1431 dapat berumrah ke sana pula....

Friday 18 September 2009

RAMADHAN BUKAN BULAN PUASA........



Terawih terakhir malam ini dan ramadhan yang berbaki hari esok, bermenung aku bermuhasabah...apakah ' aku meninggalkan ramadhan ataukah ramadhan pergi meninggalkan aku?'. Bacaan iman terawih , Sheikh Ahmad Rejab Al Fayumi jemputan dari Mesir yang mengulang kembali ayat...." Kutiba alaikum mushiyam....yang berakhir dengan la'allakum tattaqun itu, begitu menusuk telingaku...lantas mengimbaskan aku pada kefahaman-kefahaman tentang ramadhan...,apakah telah terumus semuanya di penghujung ramadhan???

Aku menyambut kertas-kertas ujian yang dihulurkan Allah padaku dengan penuh rasa kehambaan dan aku bangun dengan susah payah dari ujian ramadhan ini. Aku nekadkan pada diriku, biarlah ramadhan pergi tapi tidak meninggalkan aku dan aku pula tidak mahu meninggalkan ramadhan. Segala agenda ramadhan ingin kusegarkan. Hadallahuli..'Semoga Allah memberi hidayah padaku..


Kelantan ....cita-cita seorang pemimpin direalisasikan , Tok guru Nik Aziz berusaha gigih menyempuranakan hak Allah dalam rangka melimpahkan kekayaan jiwa pada rakyatnya. Memang indah berRamadhan di Kota Bharu , Kelantan. Aku rasa bertuah menjadi penghuni negeri yang mendapat jolokan ' Serambi Mekah' ini. Beruntung mempunyai ulil amri yang kasihnya membawa ke syurga.

Ihya Ramadhan ... " Ramadhan adalah bulan Ramadhan , bukan bulan puasa " Tok guru ingin membetulkan fahaman masyarakat tentang pengertian Ramadhan. Memahami Ramadhan adalah bulan puasa itu adalah pemikiran yang terkongkong dengan pengaruh penjajah. Yang mewarisi Islam secara tradisi.

Tok guru mengajak kita menghayati Ramadhan yang bukan sahaja dituntut supaya berpuasa tetapi katanya , apa yang disebut dalam hadith rasulullah adalah Ramadhan dengan puasanya, i'tikafnya , qurannya , istighfar , selawatnya , dermanya.' Relay Qiraatul Quran ' baca Quran tak henti-henti pula bermula lepas terawih hinnga ke waktu sahur dijayakan oleh pelajar-pelajar dari sekolah ( YIK ) Yayasan Islam Kelantan.


Begitu kuatnya keinginan pemimpin ini membentuk rakyatnya dengan acuan amalan rasulullah dalam kita berRamadhan. Hinggakan suasana Qaryah Ramadhan juga diwujudkan semirip suasana persekitaran Mekah untuk membangkitkan rasa 'beribadah'. Aku pula , terkenang musim haji yang lalu...ya khemah -khemah berhawa dingin di Mina dan berkhemah di Arafah. Suasana beribadah yang cukup indah. Membangunkan jiwa taqwa. Siri-siri tazkirah ramadhannya pula menyemai minda dengan fahaman yang sahih.

Imam terawih dari Mesir , yang sudah dua tahun bersama kami begitu mesra dengan jemaah.
Suka berkongsi apa saja. Kembalinya ke pangkuan Allah isteri tersayang yang nun jauh di ditinggalkan di Mesir pada pertengahan ramadhan ,tidak sedikit pun menggugat tugas dan perjuangannya sepanjang ramadhan di perantauan.


Kami tidak ditinggalkan malah tugasnya bertambah mantap walaupun suaranya begitu sebak membacakan ayat-ayat yang menceritakan perjuangan , kematian , infak , nikmat syurga dan kegerunan neraka. Aku pula merasakan nikmat dengan bacaan yang dialunkan kerana dapat memahaminya. Terima kasih kepada ustaz Tarmizi dari Darul Kautsar yang begitu gigih mengajarkan kami ilmu terjemahan harfiah.


Tatkala imam berkongsi rasa tentang pemergian isterinya , aku terkenangkan sahabatku ...ummu 'Ammar yang jauh di utara tanah air. Aku seolah dapat merasakan Ummu 'Ammar adalah setabah imam ini. Imam meluahkan rasa mas'uliahnya terhadap amanah kerajaan Kelantan terhadapnya dan tak mungkin dia pulang ke Mesir disebabkan kematian isterinya sedangkan di bahunya terpikul hak Allah yang wajib ditunaikan dengan sempurna, menghabiskan tugas sebagai imam terawih. Beliau hanya pulang ke Mesir pada 3hb Syawal.


Inilah jiwa-jiwa mereka benar-benar melihat dunia melalui jendela akhirat. Alangkah tenangnya jiwa ini. Tiada buruk sangka dengan takdir Allah. Jiwa yang padanya tiada gundah gulana walaupun orang yang tersayang diambil Allah. Aku merenung jauh ke dalam diri.., di manakah jiwaku? Ungkapan anak didikku 'Ammar benar-benar meragut mata hatiku...aku berusaha menjadi insan yang melihat dunia dari jendela akhirat dan mencari erti hina kehambaan.

' Ammar , 'Ammar telah merdeka Marr...
'Ammar telah berjaya dan menang pada ramadhan yang lalu dan menjunjung kemenangan itu bertemu dengan Allah. Ummu 'Ammar , sapulah kerinduanmu dengan kemenangan mujahidmu.
Kau ibu yang beruntung.....
Titisan jernih terus mengalir di pipi.....
Siapa juga akan merindui 'Ammar......

Saturday 22 August 2009

KEREZEKIAN RAMADHAN


"Ramadhan satu-satunya bulan yang Allah sebut dalam Al Quran. Ramadhan bulan Quran diturunkan...peliharalah , bertuah sungguh kita sampai lagi pada ramadhan. Terpulang pada kita nak buat macam mana dengan bulan yang penuh dengan kebaikan dan rahmat.

Terserah pada manusia, nak ambil apa yang Allah sediakan dalam ramadhan
ini. Ibarat hujan turun,..orang cerdik akan sediakan' tadahan'. Letak di tempat-tempat lapang supaya dapat air hujan. Setengah-setengah orang letak 'tadahan' bawah tangga, bawah pokok , atas bumbung......"

2 Ramadhan ,..aku membelek semula catatan dalam talipon tanganku tatkala terkenangkan tazkirah subuh di masjid Pulau Melaka , masjid Tok Guru Nik Aziz. Tazkirah ringkas pada 2 syaaban yang lalu menambahkan kefahamanku bagaimana untuk melalui ramadhan. Dengan bahasa yang digaya ringkas itu, tazkirah tok guru Nik Aziz jadi begitu lunak di kalbuku. Difahamkan dan terus membakar semula ketaqwaan yang telah dihinggapi debu selama sebelas bulan yang lalu.

Ramadhan bertamu lagi ....aku menyusun atur mindaku agar menadah ketibaan Ramadhan tahun ini. Moga 'rahmat' , ' keampunan ' dan ' pembebasan An nar' Nya tidak dicantas pedang waktu yang begitu pantas lantas aku tewas kerugian dari kerezekian ini. ' Demi masa , sesungguhnya manusia itu dalam kerugian..
' Al Asr : 1 -2


Allah memerintahkan kita :

" Wahai orang-orang yang telah beriman mereka , telah difardhukan atas kamu ' as shiyamu ' (puasa ) seperti apa yang telah ditetapkan atas orang-orang yang sebelumnya , ' la 'allakum'(mudah-mudahan kamu) kamu bertaqwa."

Al Baqorah : 184



" Bulan ramadhan yang telah diturunkan padanya Al Quran , petunjuk bagi manusia dan keterangan dari petunjuk dan pembeda........."

Al Baqorah : 185

Aduhai ....andainya tida
k disediakan tadahan, mana bisa kita memperolehi janji Allah
'La'allakum tattaqun '. Mana bisa kerezekian ini memberi pulangan ketaqwaan...Memasuki madrasah ramadhan dengan pilihan bukan menjalani ramadhan adat.


Ceramah ramadhan 'Ammar tahun lalu, telah menyingkap semula gudang memori ingatan kami sekeluarga bersama keluarga 'Ammar ketika di Kampung Tok Kenali , Kelantan. Selain melaksanakan amalan para sholehin yang dilakukan dalam
bulan ini , kami juga tidak ketinggalan untuk menyempurnakan anjuran rasulullah......

Rasulullah S.A.W telah berkata: " Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa adalah baginya pahala sebagaimana orang yang berpuasa tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang berpuasa itu”.

(Direkod oleh Imam Bukhari dari Zaid bin Khalid Al-Juhni)


Masih terasa manisn
ya iman ketika kami saling menyediakan juadah berbuka puasa. Abu dan ummu 'Ammar memang lebar tapak tangannya meraikan tetamu. Rumahnya sentiasa terbuka untuk kunjungan sesiapa sahaja dan juadah pasti ada hinggakan ziarah kami semasa pemergian 'Ammar baru-baru ini, kami tetap disajikan dengan juadah yang begitu enak...ya, ' kari dalca utara'. Lama dah merasainya.


Lantaran kesedihan...jamahanku tak banyak. Namun ummu 'Ammar hanya meneguk air dan makan buah-buahan, mengumpul tenaga menunggu ketibaan jenazah 'Ammar dengan kekuatan iman dan kerinduan. Ku lihat entah berapa kali sahabatku ini mutiara sucinya bergenang di tasik kelopak matanya. Wajahnya yang tenang namun tetap mengertikan aku pelbagai rayuannya pada Yang Berkuasa pada setiap sesuatu. ( Wa huwa 'ala kulli syai in Qodhir )


Persekitaran yang mendid
ik inilah , 'Ammar juga pandai berjuadah meraikan sahabat-sahabatnya. 'Ammar menjamu ' ahlil baitnya' dengan nasi minyak?? Aku tersenyum membaca coretan sahabatnya ( 'Ammar bagaimana orangnya ) yang kini telah ditinggalkan di perantauan. Sahabat-sahabat yang amat terkesan dengan sentuhan 'Ammar pastinya kini tetap segar dengan tinggalan usaha-usaha dakwah 'Ammar. Kalian tetap meneruskannya kan?...

Aku turut menguntum senyum dan ketawa mendengar abu 'Ikrimah menceritakan kisah bujang di bulan ramadhan bersama abu "ammar di Pusat Islam USM , Penang. Berbuka puasa segeng dan sedulang serta bertarawih saban malam. Tentu abu 'Ammar akan turut tersenyum mengenangkannya. Menjejaki masjid ke masjid bertarawih dan menikmati more...tatkala fikrah sedang berputik.

Jiwa ibadah p
uasa ' Ammar , tersemai sejak usia kecil lagi hingga remajanya subur dengan kemanisan ramadhan yang memanpukannya berkongsi rahsia ' anak-anak yang melihat dunia dari jendela akhirat '. Kini jiwa itu menjadi kenyataan. 'Ammar telah berjaya menyediakan ' tadahan' lantaran kemerdekaan jiwa kehambaannya.
'Ammar berjaya berezeki dengan kerezekian ramadhan yang tersedia untuk orang-orang yang menyediakan tadahan.

Pembelajaran informal akan melahirkan natijah yang formal.
Ya....mengujudkan biah lebih terkesan dalam mendidik....di manakah kita meletakkan
tadahan kita?
Marilah kita gunakan biah ramadhan ini untuk mencernakan kerezekian ramadhan dari Allah s.w.t agar terangkul 'La'allakum tattaqun' ...
Syawal menunggu kemenangan di penghujung ramadhan.....Allahu 'akbar walilla ilhamd....



Sunday 2 August 2009

Ado sete,...Ado muse......

Di kala sang suria semakin gagah memacak tinggi di tengah langit ........

"
Yah, maghi mung kelik kejut duo eko sete nih !!!! Geghe aku weh ... Male gi deghak, siye tido..mace muse!!! Bagi keda mas , tok sei!!!!...."

Jerkahan sang tokeh perabut terpakai pada sang tokeh kedai emas kedengaran dari ' Villa Vistana'.
Aku tersentak dengan alunan sastera Kelantan tersebut. Ah!...Ada sete ( Syaitan )..Oh!...Ada muse ( musang )." Tak bahagia lagi sang penghuni ' Villa Vistana ' ini agaknya.." Aku membuat andaian sendiri . Mana tidaknya , semua kemahuan dunianya menimbun dan mengelilingi pinggangnya tapi sete dan muse itu sedang menggonggong ketenteraman mereka. Mengongjeng-ngongjeng robek kebahagian mereka.

Cuping telingaku pernah disapa pengunjung mizjana..." Apakah benar wujud insan seperti 'Ammar ? " Masyarakat hari ini tercengang kehairanan ! Lu tatak percaya ka.... ? Ya..Islam itu dagang dan akan kembali dagang. ' Dagang' ...maknanya kena cari dan jual. Itulah dagang. Kalau tak cari memang tak jumpa maka gelaplah hidup tanpa panduan ; kena gali dari perut Al Quran dan Al Hadith. 'Ammar telah pun menggalinya. 'Ammar telah berdagang dan berjaya mengutip hasil dagangannya.
Bila jiwa hangat mengintai dunia dari jendela akhirat, tak mustahil mujahid seperti 'Ammar bertebaran di serata pelusuk bumi ini......

Ya..Allah, senyuman dan kerlingan anak muda ini dalam photo-photo kalam puncak yang diteruskan umminya benar-benar mencuit rindu. Aku juga rindu , inikan umminya. Keletah dewasanya sama seperti zaman comel dan nakalnya dulu. Adakalanya aku mencubit geram pipi kecilnya yang sentiasa menguntum senyum. Senyumannya manis. Senyum ' Ammar senyum bermakna...tunggulah...siapa pula yang akan jadi bahan tarbiyah emosi seterusnya......
'Ammar tak meragam tapi dia memperagamkan sahabat-sahabatnya...

" Time to sleep..... Bismi kallahumma ahya wa amut..." Kepalanya di atas bantal tapi matanya pura-pura dipejamkan...sekali-sekala terkedip-kedip matanya mengintai aku yang bersimpuh memastikan anak-anak didikku berqailullah. " Haa...'Ammar tak tidur yaa.....". Memang 'Ammar banyak plan. Itu sebab dia payah tidur tapi kalau tidur ,..tidurnya lena sekali. Hatinya girang selepas berqailullah sebab tak lama lagi ummi dan abahnya akan menjemputnya.
Konsep urutan , masa dan ruang...inilah asas yang mempengalamankan anak-anak tadika.
Mereka belajar...lepas ini , ini...lepas makan , solat , lepas solat , tidur , lepas tidur...ummi abah datang!!


Aku menelaah buku " CARA RASULLULLAH MENDIDIK ANAK " yang menjadi bahan kuliah halaqah ' tapak semaian' teratak kami . Biarpun merupakan refreshment tapi kami berhajat perjuangan kami diteruskan oleh anak-anak terutamanya Juwairiyyah dan Azman yang bakal menjejaki alam berumahtangga tak lama lagi.

'Ado sete , ado muse..' Aku terkenang kembali sepotong kisah ' Villa Vistana ' tadi...
Sebab itulah umur kita tak panjang....

Kukongsikan ." Khabar Gembira Buat Orang Tua "


Orang tua akan memetik buah , hasil dari jerih payahnya mendidik anak , ketika anak-anaknya menjadi sholeh dan sholehah. Hasilnya bukan hanya dapat dinikmati di dunia , bahkan di alam kubur dan akhirat kelak. Rasullullah s.a.w mengingatkan kita :

" Apabila manusia mati , terputuslah amalnya kecuali dari tiga perkara: Shodaqah jariah , ilmu yang bermanfaat dan anak sholeh yang mendoakan untuk orang tuanya. "
(Direkod : Muslim dan Abu Hurairah )

Rasulullah s.a.w menyambung pesanannya yang lain:

" Sesungguhnya Allah tidak akan menangguh umur seseorang apabila telah sampai ajalnya ( tempohnya ).

Penambahan umur seseorang hanyalah apabila Allah menganugerahkan keturunan yang sholeh kepada seorang hamba.

Orang tuanya didoakan maka sampailah doanya ke alam kuburnya."
(Direkodkan oleh Hakim dari Abu Darda')

Rasulullah s.a.w juga menerangkan bahwa setelah meninggal dunia, darjat orang masih bisa diangkat. Si mayit yang merasa diangkat darjatnya berkata , " Ya Allah , apa ini? " Maka akan dijawab , " Itu ( kerana ) anakmu selalu meminta ampun untukmu "
(Direkodkan Bukhari dalam Adab Mufrad , dari Abu Hurairah )

" Wahai tuhanku , ampunilah aku dan kedua ibubapaku dan rahmatilah mereka seperti mana mereka mengasihiku sejak kecil."

Inilah sejatanya...inilah doanya yang semua anak-anak diajari sedari kecil di tadika-tadika muslim.
Begitulah khabar gembira buat orang tua (para ibu ayah ). Bukan saja ibu ayah malah bagi orang bersedekah jariah dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat juga gembira dengan perkhabaran ini.

Justeru inilah kita " memulakannya ".....dulu. Kami mahukan perjuangan kami diteruskan oleh zuriat kami. Merekalah penyambung seperti kami , penyambung perjuangan khotamun ambiya'....


Tuesday 7 July 2009

MEMULAKANNYA......


Bila aku dikhabarkan oleh ummu 'Ammar bahwa 'Ammar mengambil medic di Mesir , besar hatiku dan aku turut bercita-cita...ah! 'Ammar akan jadi seperti tok guruku 23 tahun yang lalu...Dr. Daniel...seorang doktor lulusan universiti Iskandariah Mesir yang membedah dadaku dengan Al Quran dan Sunnah.

Aku membayangkan kehebatannya nanti ! Kehebatan dia menghayun ilmu dengan pedang-pedang iman menggalas mas'uliah dakwah ke sepelusuk alam.. Doktor yang bakal mengharumkan Islam. 'Ammar , mak cik Misra kagum dengan 'Ammar. 'Ammar , kita pernah bersama melakar memori. Aku tumpang gembira tatkala berbicara tentangnya dalam kunjungan keluarga 'Ammar Mei lalu. Aku tak sabar menunggu tiga tahun lagi...memetik hasil.... biarpun cuma memandang dari jauh saja.

Linangan airmata rindu yang meruntun jiwa kasih seorang ibu....mengharukanku malah pipiku terus-terusan basah setiap kali melarikan jari-jari menghantar coretan ke maya. Kasih sayang Allah menjangkau cita-cita kita. 'Ammar pergi.....pergi mendapatkan kekasihnya. ' Ammar dijemput mulia. Begitu cepat ' Ammar dijemput bagaikan mimpi semalam. Layakkah aku dijemputi kekasih yang 'Ammar miliki kini?...Jantungku tidak tenang memikirkannya.


Perginya 'Ammar menyingkap ligat diari-diari hidupku. Kuselongkar ruang jiwaku yang masih bergelapan. Aku ketar !Aku cemas .....Ah! Masih gersang. Jiwaku belum enak melihat dunia dari jendela akhirat... Keaiban masih melunak dan bersarang tapi 'Ammar yang semuda 21 tahun telah jauh mendahuluiku mencapai nafsu mutmainnah.


Terkenang aku , 23 tahun yang lalu ...penghijrahanku ke Pulau Mutiara selepas diijabkabulkan.
Aku meneruskan benih imam dan azam yang telah tersemai. Di Pulau Mutiara Allah membentangkan aku laluan ilmu yang teramat luas seluas asma' ul husna ...Al Wasi'a.
Aku menegukknya bagaikan musafir kehausan.


Beetuullll.....belajar, belajarlah...kita akan jumpa apa yang dihajati. Apatah lagi , aku agak lewat dikurniakan cahaya mata. Masa keemasan kugunakan untuk menimba ilmu. Aku berpeluang menyambung minat dan penglibatanku dalam ' pendidikan awal '. Alhamdulillah , bagai bulan jatuh ke riba kerana abu 'Ikrimah adalah penyokong dan penggerakku. Malah apa yang dipinjamkan padaku oleh Allah adalah bermula dari tapak-tapak awal kami di Pulau Mutiara.


Ummu dan abu 'Ammar adalah rakan sebacth dan sejawat abu 'Ikrimah di USM. Aku diperkenalkan pada ummu 'Ammar ketika kelahiran Juwairiyyah, cahaya mata pertamaku. Masa itu , 'Ammar masih dalam kandungan lagi. Ye....Juwairiyyah lahir bulan April dan
'Ammar bulan Julai 1988. Titik pertemuan yang membibit jalinan ukhwah. Ukhwah yang tidak akan putus lantaran ikatan aqidah kita. Kita yang memulakannya , sahabatku. Kita berhajat pada tarbiyyah ini. Lantaran inilah....kita tetap bersama di sini mendidik dan menanti hasil.....

".......Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri....." Ar Ra'd : 11


Kita memulakannya.......kita impikan perubahan. Kita berhijrah . Kita adalah orang biasa. Bukan golongan ulama' , ustaz , 'orang pondok' yang menadah kitab dan pandai tentang Al Quran. Bukan juga berjubah dan berserban ataupun lulusan agama dari Mesir tapi Allah memilih kita untuk mencampakkan hidayahnya.

" Allah memberi hidayah kepada siapa yang dikehendakiNya " Allah mengulang-ngulang kalam sucinya ini banyak tempat dalam Al Quran. Ada yang dinyatakan dalam irama penegasan , peringatan dan pujukan Allah kepada kita. Semua-semua irama mesej ini amat bermakna buat diriku yang jahil ini. Mahal pilihan Allah ini....ya... semahal nilai syahidnya 'Ammar..


Hingga kini , masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata ummu 'Ammar ketika 'Ammar menyakat Juwairiyyah. Memang Juwairiyyah selalu menjadi pilihannya. " Ammar jangan buat macam tu ( 'Ammar membaling beg duit Juwairiyyah ke dalam hutan ) , tak soleh Mar..sian kakak,...jangan buat macam tu , manalah tahu kot-kot jadi menantu ummi nanti...." .


Kata-katamu yang mendidik 'Ammar agar:

perihatin dengan perasaan orang lain ' sian kakak ' ,
menyatakan tidak betul perbuatan 'Ammar ... ' tak soleh' ,
bergurau
' manalah tahu kot-kot jadi menantu ummi nanti...'

Ini resepimu. Kutahu dan yakin kau menyimpan 'rencah rohani' yang telah menyemarakkan
perjalanan tarbiyyah putera-puterimu.

Inilah kehebatanmu , sahabatku...Siti Fatimah bt Ramli. Walaupun kau pernah menyuarakan
kerisaun tentang keletah 'Ammar zaman comelnya. Akan tetapi terserlahlah kini pilihan dan kegigihanmu yang memulakannya.......



jemput ke http://elitsuria.blogspot.com/

entri seterusnya : bagaimana kami mengisi ' memulakannya'.....

Sunday 28 June 2009

BELAJARLAH.....


" Smlm msk exam dgn hrpkan lulus je. alhmd, bl buat ok sket. lbh sket kot. besa la jd ahli peselam ( prsatuan study last mnt ), nk kata pa....."


Aku tersenyum membaca sms 'Ammar pada umminya tika menghadapi exam baru-baru ini. Aku kenal benar mujahid muda ini. Daya tumpuannya memang amat luar biasa sejak kecil lagi. Terimbas kembali masa aku mengajarnya....aku tak perlu banyak bahan atau teknik untuk mencurahkan ilmu padanya. Bagilah dengan apa teknik sekalipun , 'Ammar tetap menyimpannya dengan baik dalam ' stor' ingatannya. Matanya tak pernah berkerdip , kepalanya tak pernah berpaling arah tatkala belajar. 'Apa itu ,apa itu ?' Suara manjanya yang penuh dengan rasa ingin tahu terngiang-ngiang di telingaku.

Kenangan aku bersama 'Ammar tidaklah selama mana seperti sahabat-sahabat remajanya tapi nostalgia yang penuh bermakna ini memang tidak dapatku lupakan. Bila berita pemergiannya ku terima pada pagi itu....tak berputus arus keletah masa kecilnya segar bermain di ruang mataku. Ya..lah , hanya kenangan masa kecilnya yang terabadi dalam diari ingatanku. Namun begitu , 'Ammar yang remaja dan dewasa tetap tergambar....... aku terharu sekali ! Begitu cepat 'Ammar pergi.




'Ammar tidak pernah jemu dengan apa saja! !! Buku , lasy , gelunsur , melompat , melantun atas trampolin , meniti di atas tayar....adalah rutin 'Ammar di taman didikanku. Kawan-kawan lain akan keriangan, terhibur menyertainya . ' Ammar tetap menjadi
leader tanpa dilantik. Saban hari ada-ada sajalah aktiviti dan ideanya. Tengoklah tu....apalah yang menarik perhatian kawan-kawannya hingga begitu khusyuk........( detik yang sempat aku rakamkan belasan tahun yang lalu ). Tak sangka , ianya menjadi perkongsian bersama pada hari ini.


Bagi 'Ammar alam sekeliling amat meransang
naluri ingin tahunya....'Ammar sentiasa belajar. Bila belajar 'Ammar mengajar. 'Ammar tidak simpan ilmu untuk sendiri. 'Ammar tidak lokek berkongsi dan membimbing . Itu kunci 'Ammar pandai. Jadi ingat , siapa nak pandai jaaaangaannnn kedekut ilmu!!!!!


Aku menyusuri kata-kata rasulullah s.a.w.......
Inilah konsep belajar......

" Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang , apabila mereka mencapai usia tujuh tahun dan pukullah mereka untuk mengerjakan sembahyang apabila mereka mencapai usia sepuluh tahun serta pisahkan di antara mereka di tempat tidur."


Pakar motivasi berkata ..." Anak-anak mesti diperingatkan sebanyak 200 kali , barulah masuk kefahamannya." Rasullullah s.a.w pula telah berkata hendaklah anak-anak dibimbing tiga tahun ( tujuh hingga sepuluh tahun ); maknanya seribu hari malah lebih seribu kali dalam membentuk ' peribadi mendirikan solat'. Umur tujuh tahun 'disuruh' , bermakna sebelum tujuh tahun mestilah diajar. Beginilah kemasnya cara rasullullah mendidik. Maka belajarlah...... Orang yang belajar akan jumpa apa yang dicarinya.

Namun dalam mencapai suruh ' lebih seribu ' kali ini ..... sebenarnya ; pemahaman hadis ini boleh diperluaskan lagi. Dalam membentuk ' Keperibadian ' ...kita sebenarnya ingin menggapai tangan-tangan soleh -solehah di sekeliling kita agar dapat saling menggalas dan menyokong ' amanah rasul ' ini supaya terhasil jaya yang diimpikan . Rumah , sekolah , masyarakat dan negara menghala ' suruh ' yang satu.


Siapakah yang akan membentuk ' tangan-tangan soleh-solehah itu' ?

Tangan-tangan ini akan terbentuk dengan sistem. Apakah sistem yang istimewa itu ? Bagaimana membentuk ataupun kembali kepada sistem tersebut ? Inilah tugas kita para daei....kembali menelusuri pendidikan tarbawi yang dibawa oleh rasullullah. Semuanya tercerita dalam Al Quran dan Sunnah baginda...matair yang tidak pernah kering. Jadi , belajarlah.......


Api semangat belajar telah disemarakkan kembali oleh Mujahid Muda 'Ammar. Hingga ke saat akhir pemergiaannya pun 'Ammar terus dalam usaha menyemarakkan sahabat-sahabatnya belajar..... Aku tahu , wahai sahabat-sahabat 'Ammar .....kalian tetap akan meneruskan perjuangan 'Ammar...pahatlah kata-kata ummu 'Ammar...." teruskanlah perjuangan 'Ammar".
Ayuhhhhh semua!!!!!......


ikuti entri seterusnya.....

sms dari Ir. Ahmad Jais (IKIM )
lawatilah: ikimfm.pusratu.com.









Friday 19 June 2009

YANG MENGALIR..........



" Kak ,...'Ammar dah tak de ke? " Tanya adikku kehairanan dalam YM tempohari, sebaik saja melayari 'mizjana ' " Ye , udah seminggu 'Ammar meninggal dalam kemalangan di Mesir. " " Dia buat apa kat sana ?" " Bik medic udah 3rd year . " Kami berbalas taipan , terus mengimbau kenangan bersama 'Ammar.

Sebak kembali berombak di dada ini. Airmataku menitis lagi. " Pity of him but Allah love him more than us.... " Patah -patah perkataan Dani terus timbul di skrin laptobku. Dani juga ada kenangan bersama Ammar. " 'Ammar Mujahid Syahid , Dani !"

Masih terasa kehangatan jemari kecilnya mengenggam erat jariku ketika menyambutnya setiap pagi . Terbayang senyumannya yang memeriahkan rakan-rakannya. Berlari-lari menuju papan gelungsur. Gelungsur , panjat dan bergayut, tidak jeme-jemu. 'Ammar cergas setiap hari. Pepagi lagi badannya dah berpeluh !! Hatinya terbuka luas menadah ilmu saban hari.

" His sweet but sometimes naughty! " " Ye.... , Dani nampak.... kan, macam mana kakak riiiibut!.. Bukan ribut apa , ribut mengatur marhalah menyirami jiwa anak-anak. Ya.. aku adalah sebahagian dari ranting tarbiyah mereka. Aku ditiup semangat ini semasa mendidik 'Ammar dan rakan-rakannya. Tiupan inilah yang mengalir hingga kini.


Kenangan bersama
'Ammar juga dikongsi dalam email Dr. Noram kepada Abu 'Ikrimah ...

Kepada abu dan ummu 'Ammar.........


di jari-jemariku
puluhan tahun yang lalu
ada gigitan anakmu

dijari-jemariku
ratusan ribuan mata
sudah kurawat
sudah melihat
dek gigitan itu.

Noram ; Memori yang masih menggigit.


Biarpun dalam kenakalannya , 'Ammar mudah didisplinkan. Telinganya pasti ditadah luas dan terkebil-kebil matanya bila dinasihati. Kepalanya dihangguk-hanggukkan tanda dia faham. Ada kalanya dia menegaskan rasional perbuatannya yang tidak persetujui umminya. Memang ' Ammar bukan pak turut. Itulah yang disifatinya hingga menjadi seorang pemuda yang cintanya hangat kepada akhirat.


Namun dalam mendidik , ummu 'Ammar akan menyentuh ' hati ' anak-anaknya. Maka tidak hairanlah bila 'A
mmar , kata-katanya melekat di hati. Ianya mengalir meresapi jiwa mujahidmu ini , wahai ummu 'Ammar . Sahabatku , tentu sejuk rahimmu dengan anugerah Allah ini.

Sahabatku , usaplah airmata pasrahmu...
Kubisikkan padamu...

" Mereka itu ialah : orang-orang yang bertaubat , yang beribadat , yang memuji Allah , yang mengembara ( untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam) , yang rukuk , yang sujud , yang menyuruh berbuat kebajikan dan melarang daripada kejahatan serta yang menjaga batas-batas hukum Allah.
Dan gembirakanlah orang-orang beriman."

At Taubah : 112


Mujahidmu sedang bergembira. Iringilah kegembiraannya di sana. Usaplah airmatamu , wahai ummu 'Ammar. Kita akan jadi seperti apa yang kita ilmu dan amalkan.


'Minda disiplin' ummu 'Ammar amat mahir menyusun hari-hari hidupnya . Betapa tidaknya....sebagai ibu yang berkerjaya , sahabatku ini cekap mengatur urusan rumahtangganya.

Sentuhan displinmu terus mengalir ke jiwa mujahid ini. Amal yang mengalir inilah yang menjadi milik kita di akhirat kelak. Amal-amal 'Ammar terus mengalir . Menjadi inspirasi...menggelodak suhu jihad sahabat-sahabatnya dan alam sejagat.



Teeek! Teeek!.... motosikal PBA 1954 Yamaha Merah menyelit di cecelah keriuhan petang kampung ' Pondok Tok Kenali '. Kulontar pandangan ke luar jendela....haa...'Ammar dan Ikhwan tersengeh membonceng abahnya mengelilingi kampung mengisi aktiviti petangnya. Terhibur menjelajah kitab yang terbuka ciptaan Allah.

Abu ' Ammar tidak melepaskan tugas mendidik di tangan ummu 'Ammar saja malah masing-masing memainkan peranannya.
Setiap waktu solat di masjid Kpg Pulau Hilir atau Surau Istana Kubang Kerian, pasti Yamaha merah dibonceng 'Ammar dan Ikhwan. Inilah
' sentuhan' informal abu 'Ammar. Berjemaah mendirikan solat dan bersosial dengan masyarakat. Habbluminallah dan hambbluminannas telah ditanam sejak kecil lagi. Pahala , dosa , syurga , neraka semuanya bukanlah sesuatu yang asing bagi 'Ammar sebelum mencapai mumaiyiz.



Rasulullah s.a.w mengalirkan kita.....,



" Tidaklah anak yang dilahirkan itu melainkan lahir dengan membawa fitrah. Maka orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi , Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor binatang ternak yang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna ( tanpa cacat ), apakah lantas kamu lihat terdapat cacat pada telinganya?

( Buku : CARA NABI MENDIDIK ANAK )

Inilah kaedah dasar dari rasulullah s.a.w yang intinya adalah bahawa seorang anak itu akan tumbuh dewasa sesuai dengan agama orang tuanya. Lantaran ini Abu dan ummu 'Ammar amat teliti dalam memastikan ' inti ini ' terus mengalir dan diperkukuhkan oleh tangan luar yang menyentuh jiwa 'Ammar dan adik-adiknya.

" Mcm along blk je thn ni...minat gelang yer....mcm gelang keling. he..he...i.Allah along try cari nnt." Aku tersenyum membaca sms 'Ammar pada umminya yang tersimpan rapi dalam kotak 'Save massage' talipon sahabatku ini. Terbayang di mataku gurau tawanya...sampai meleleh air liurnya. Apa lagi kalau digeletek ...kih kih kih.....bertambahlah girangnya. Kemesraannya membelai siapa sahaja...

'Ammar memang manja sejak kecil biarpun 'Ammar anak sulong. Membahasakan dirinya along , menjadi anak yang sangat bertanggongjawab berbakti kepada ummi dan abahnya.
Renungkanlah gurauan dan penghargaannya pada umminya dalam smsnya.

entri seterusnya....'ammar suuuukaa belajar..!!!


Tuesday 16 June 2009

BUKAN PERSEPSI.....('Ammar )




Aku ke dapur seusai solat subuh. Awal aku ke dapur sebab aku akan menghadiri kursus 8.30 pagi itu. Selalunya aku akan membuat dua tiga kerja serentak...Menyediakan sarapan , iron baju dan berkemas diri . Hari itu aku hanya berdua di rumah. Abu 'Ikrimah , suamiku bersantai di atas sofa. Sesekali merehatkan otot-otot pada hari Faalihah cuti penggal persekolahan amat nikmat rasanya. Najiehah pula tak payah diziarahi di Maahad Tahfiz Sains. Memang agak santai musim cuti sekolah.

Ringtone mesejku berbunyi , kucapai talipon tanganku. Laa.....dah ada dua sampul surat
rupanya. Kubuka sampul pertama , kubaca sepintas lalu sms dari ukhti Norizan. Kubuka pula
sampul ke dua , anakku Juwairiyyah memaklumkan berita yang sama juga. Aku mula tergamam
dan terpinga-pinga... Berputar pinar penglihatanku. Mesti insan yang bermakna bagiku dan amat dikenalinya. Kalau tak , Juwairiyyah tak akan memaklumkan sepagi ini. Ku hubungi anakku tapi gagal. Aku hubungi ukhti Norizan. "Kak Zan , siapa yang meninggal ni? 'Ammar mana?" "Anak Siti Zul la..." Dada kami sesak kesebakan dengan berita dari Mesir yang tak terduga itu.


Abu 'Ikrimah bingkas bangun menghubungi abu 'Ammar tapi talian sesak masa tu. Butang talipon terus dialih ke nama yang lain untuk mendapatkan kepastian tentang situasi kejadian.
Walaupun talian ke dua menjawab 'ingin tahu' kami tapi abu 'Ammar terus dihubungi.

Ya Allah...baru kelmarin aku menghitung baki umurku selepas mendengar pengajian kitab Hikam di masjid yang bertajuk Hijab di antara manusia dan Allah ". " Umur dunia ini
sudah tidak lebih dari 60 tahun saja lagi !" Terngiang-ngiang di telingaku kata-kata Ustaz di
Masjid Langgar malam tadi.

Berita pemergian Mujahid 'Ammar mengocak jantungku seolah bertukar irama degupannya. . Memutuskan angan-anganku! Sisa umur yang ada tiada siapa yang tahu. Aku terasa kerdil sekali. " Begitu cepat sekali Allah selesaikan kerja-kerka dakwah ' Ammar. Dua puluh satu tahun! Kita selalu berangan-angan akan hidup lebih dan lebih lama. " Bualku dengan abu 'Ikrimah di meja sarapan.


Aku baru mula bertatih membuka hijab antara ku dengan Allah tapi ' Ammar telah
mengecapi nikmatnya. 'Ammar nampak Allah tika solatnya! Tika berjalan ! Belajar ! Di mana-mana saja 'Ammar nampak Allah! Tengok pokok pun nampak Allah jua! Sebab itulah bila tengok 'Ammar kita nampak Allah. Kegigihan 'Ammar adalah sumber terungkainya hijab dari kalbu Mujahid ini . 'Ammar merdeka dari keaiban-keaiban diri yang mencengkam pemuda yang sebaya dengannya.

'Ammar bukan persepsi lantaran ........

" Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat.
Laksana anak-anak yang melihat dunia dari jendela akhirat.."

Kata-kata hikmat "Ammar.
'Ammar bukan persepsi tetapi hakiki yang dijiwai penuh amali . Ilmunya diamali bukan difalsafahi. Amalannya mengharum di bumi kini penuh bermakna . Didikannya bersemadi dalam diriku biarpun 'Ammar telah pergi.


Sebenarnya , 'Ammar telah jauh dari pandangan mataku sejak 'Ammar berumahkan
MATRI . Aku tidak pernah berbicara dengannya lagi. Aku hanya memandangnya dari jauh tatkala menziarahi Juwairiyyah dan 'Ikrimah di MATRI. ' Ammar sedang menginjak remaja seperti anak-anakku juga. MATRI telah menyuburkan ' kekuatan fitrah ' kurniaan Allah yang ada pada 'Ammar.

Biarpun kejauhan begitu , ummi dan abahnya menjadi sumber berita bagiku. Hinggalah 'Ammar terbang ke Mesir menyambung pengajian dan tugas daeinya....aku sering mendapat khabar tentangnya dan kali terakhir aku melihat wajahnya melalui skrin talipon umminya yang menjengah kami di Kubang Kerian pada Mei yang lalu. Kami tidak pernah putus hubungan walaupun sudah terpisah sejak 2003. Ukhwah fillah yang menjalinkan kami.

Aku memutar lemah stearing keretaku menuju ke Pusat Sumber Pengkalan Chepa. Ini hari terakhir kursus 'Pendidikan Awal Kanak-Kanak' . Air mataku membasahi pipi tanpa henti sepanjang perjalanan ke sana. Kepalaku merangka perjalanan untuk menziarahi sahabatku. Tersingkap segala memori bersama 'Ammar...makin lama makin menebal di ruang mataku. Keletah-keletah 'Ammar dan juga perasaan umminya dengan berita ini membuatkan aku menangis terus.....


Dalam dewan kursus , taliponku berbunyi tanpa henti. Aku melayan perasaan dengan
menjawab panggilan dari rakan taulan yang bertanya berita sedih yang menukar degupan jantungku. Aku menghubungi sahabatku , ummu 'Ammar. Terdengar saja suaranya di corong talipon ,aku terus menangis bersama sahabatku itu. Aku ingin menghimpunkan kekuatan
emosi kepadanya dengan kata-kata semangatku tapi ternyata kepasrahannya membenteng
segala kekecewaan. Inilah ummu 'Ammar ! Ummi kepada seorang mujahid yang berjaya
meraih syahid !

'Ammar, aku terdidik dalam mendidikmu....
Keletah dan kecerdasannya meransang aku meneroka dan menelaah ilmu tentang ' Siapa itu kanak-kanak dan tarbiyatul aulad. 'Ammar membesar seiring dengan anak-anakku. Ilmu kutimba adalah untuk anak- anakku dan anak-anak masyarakat sekitarku jua. Aku daei untuk anak-anak kecil dan aku menjiwainya.
Aku semakin matang menghadapi anak-anak didikku. Setiap kali aku memberi kursus dan
tunjuk ajar kepada guru-guru , 'Ammar pasti menjadi sebutanku. Terutamanya apabila
membincangkan 'pengurusan tingkah laku kanak-kanak'. Apatah lagi ada guru-guru
yang mengenali 'Ammar dan keluarganya.


"........Bersyukurlah kepada Allah ( akan nikmatNya kepadamu ). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur ( maka tidaklah menjadi hal kepada Allah ) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi terpuji." Luqman : 12


Wahai ummu ' Ammar , inilah mujahidmu. Mujahidmu mempuyai jati diri yang tinggi.
Mujahidmu tahu ertibahasa ' BERSYUKUR ' dari Allah. Mujahidmu memelihara dirinya dan diri orang lain dari api neraka. Mujahidmu daei yang " mu'alim dan murabbi " .
Akhlaknya mendidik 'alami. Tentu kau rasa istimewa dengan pengertian kalam suci ini. Aku percaya kerana wajahmu menceritakannya.....patah-patah katamu pada sahabat 'Ammar
menyohorkannya...


Inilah tugas 'Ammar yang mesti diteruskan oleh sahabat-sahabatnya yang ditinggalkan......
'Ammar mentajridkan liku-liku hidupku. Kembali kepada Pendidikan Rasullah s.a.w akan melahirkan Mujahid seperti 'Ammar. ' Ammar bukan persepsi.

Abul 'Ala menyatakan dalam bait syairnya:


" Para pemuda itu tumbuh menjadi dewasa
Tergantung bagaimana orang tuanya membiasakan mereka
Pemuda tidak dapat ditakluk oleh akal semata
Melainkan oleh pembiasaan beragama dari orang-orang terdekatnya. "

Di Kem Anak Sholeh 3 di Rhu Datuk , sehari sebelum pemergian Mujahid ' Ammar ...... fasilitator-fasilitator kem yang seangkatan 'Ammar rancak berbual tentangnya. Mereka terkenangkan 'Ammar yang hanya dapat dilihat dalam 'friendster sahaja . Mereka kagum dengan 'Ammar dengan segala sifatnya . " Siapalah wanita bertuah yang akan menjadi permaisuri hidupnya agaknya ye? " Rakan-rakan 'Ammar cuba mengagak. Ya lah memanjangkan zuriat dengan perkahwinan adalah sunnah rasullullah s.a.w.


Sempat juga kuutarakan gurauan ini pada ummu 'Ammar tempoh hari. " Dalam perbualan talipon 'Ammar masa kami berhimpun meraikan hari keluarga haluan di UKM,'Ammar seolah mengisyaratkan agar mencarikan teman hidupnya dan ingin mengakhiri zaman bujang sebelum tamat pengajian." Ummu 'Ammar tersenyum terus bercerita. Aku kata , kini permaisuri 'Ammar adala bidadari syurga! Bidadari syurga juga yang berjaya merebut cinta 'Ammar.


Kini , ungkapanmu sahabatku terpahat di sanubariku. " Sekeping ijazah kedoktoran itu bukanlah ukuran dan tandingannya tapi tugas daei itu adalah matlamanya. " satu pengisytiharan tegas dari sahabatku yang dakwah dan perjuangan mendagingi hidupnya. Selepas ' Ammar , aku terdidik pula oleh ' api jihad' sahabatku ini.

Petang tadi taliponku dikunjungi panggilan ummu 'Ammar. " Teruskan menulis tentang perjuangan 'Ammar anti pandai menulis !!" Dia mendorongi usahaku. " Alaa....blog kampungan je. Bukannya pandai pun tapi ...ah ! 'Ammar mengheret jemariku mencoret perkongsian ini dan menghumbannya ke maya!" Aku penulis tertua blog tentang 'Ammar. Ku dididiki lagi.



Entri seterusnya.....' Tajri....( ia mengalir )